‘Kalau Kelantan tiada air dan nak beli, kita juallah. Bayar jangan tak bayar’ – Saarani

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Isu penjualan air terawat yang pernah disuarakan kerajaan Perak selepas Pulau Pinang menghantar surat permohonan untuk membincangkan perkara itu tiada ada kena mengena dengan politik kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurutnya, keputusan untuk menjual air terawat bergantung kepada jumlah bekalan air di Perak sama ada mencukupi ataupun sebaliknya.

Tambahnya, mana-mana negeri selain Pulau Pinang yang ingin membeli air terawat dari negeri ini juga akan diberi pertimbangan.

“Ia (penjualan air terawat) tidak ada kena mengenalah hendak sebut kerana Kerajaan Perpaduan dengan DAP tetapi tiada kena mengena dengan parti.

“Mungkin bukan sahaja Pulau Pinang (penjualan air terawat), mungkin Selangor pun nak beli, mana kita tahu.

“Tapi dengan syarat tertakluk kepada air Perak cukup atau tidak untuk orang Perak malah kalau Kelantan tiada air dan nak beli, kita juallah. Bayar jangan tak bayar,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria di portal berita Harakah Daily yang mengingatkan Saarani supaya berpegang kepada pendiriannya yang bertegas untuk tidak menjual air Perak kepada Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri amat komited membantu kawasan yang bahagian Utara Perak terutamanya Kerian.

“Apa yang penting kepada kita sekarang, kita nak bantu bahagian Utara Perak di Kerian sebab kawasan mereka kering jadi kita kena hantar air kepada Kerian,” katanya.

#PerakKini #LAP #airterawat #PulauPinang #Selangor #Kelantan #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *