Dakwaan susu formula naik harga, KPDN minta pengeluar kemuka laporan

Foto BERNAMA
LUMUT – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub (gambar) meminta pihak pengeluar susu formula menyediakan laporan berkenaan pergerakan harga produk berkenaan bagi tempoh enam bulan.
Salahuddin berkata kementerian akan meneliti perkara itu dan akan mengambil beberapa inisiatif bagi mendepani masalah harga susu formula sekiranya kenaikan benar-benar berlaku seperti didakwa orang ramai yang mengatakan harga barangan itu semakin mahal.
Beliau berkata berdasarkan pemantauan harga susu formula dalam sesi lawatan di beberapa lokasi termasuk di Manjung di sini hari ini, kesemuanya masih lagi dijual pada kadar berpatutan.
“Saya akan sentiasa turun padang, pegawai-pegawai beberapa ketika ini akan lebih peka dan prihatin kerana kita memang perlu mendepani isu aduan yang rakyat berikan, kita bertindak pantas.
“Kita lihat dulu, sebab itu saya minta pergerakan harga enam bulan. Kalau benar aduan itu betul, maka libat urus akan kita adakan dengan pihak pengeluar, kalau tiada, maknanya kita akan beri suatu laporan nanti bahawa memang tidak berlaku kenaikan yang melampau,” katanya kepada pemberita selepas memantau dan melawat sebuah syarikat pembungkusan minyak masak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ekoran menerima laporan melalui media sosial berkenaan susu formula bayi dan kanak-kanak yang dikatakan naik mendadak antara RM10 hingga RM30.
Sementara itu, Salahuddin berkata susu formula untuk pesakit kanser bukanlah barangan kawalan kerana susu berkenaan diimport, dan beliau akan berbincang dengan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa supaya rakyat boleh membeli produk itu di hospital kerajaan pada harga lebih rendah.
Pada 15 Mac lepas, media melaporkan susu formula untuk pesakit kanser mengalami kenaikan harga sejak Disember tahun lepas.
Mengenai bekalan gula bertapis kasar dan halus yang masih kekurangan di pasaran, Salahuddin berkata beliau telah mengadakan sesi libat urus yang kelima bersama pihak industri semalam, yang berjanji akan mencukupkan bekalan dalam masa terdekat. – BERNAMA
