MBI cadang saman sebuah syarikat konsesi kerana gagal selenggara jalan raya dengan baik – Datuk Bandar

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat konsesi yang didapati tidak menjalankan kerja penyelenggaraan jalan raya dengan baik susulan kerja pembentungan yang dijalankan di sekitar bandar raya ini.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata pihaknya sudah menghantar notis kepada syarikat terbabit dan masih menunggu maklum balas daripada mereka.
“Kita sudah menghantar notis kepada syarikat terbabit dan sudah meminta mereka untuk membaiki semula beberapa jalan yang sebelum ini memang di bawah projek syarikat tersebut.
“Antara jalan yang tersebut adalah Jalan Raja Ashman Shah dan Jalan Tambun.
“Notis berkenaan dihantar pada hujung bulan Mei dan syarikat itu mempunyai tempoh 28 hari untuk memberi jawapan sebelum tindakan undang-undang bakal diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Agihan Zakat Pelajaran (Asnaf Fisabilillah) MBI dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tahun 1444H di Dewan Azlan Shah, MBI di sini, pada Jumaat.
Pada Januari lalu, media melaporkan bahawa syarikat tersebut sedang menjalankan projek naik taraf pembentungan yang dijadualkan siap pertengahan tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Rumaizi berkata MBI dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalinkan kerjasama Program Wakallah Zakat Fisabilillah bertujuan untuk mengagihkan wang zakat berjumlah RM60,000 kepada 60 kakitangan MBI yang mempunyai anak masih bersekolah serta yang sedang menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi.
Katanya, setiap kakitangan menerima RM1,000 secara ‘one-off’ yang diharap dapat membantu menampung perbelanjaan untuk membeli keperluan persekolahan atau pengajian anak-anak mereka.
#PerakKini #MBI #saman #jalan #rosak #RBZ
