Sindiket ‘phone scam’ guna dokumen ada logo PDRM, tandatangan Ketua Polis Negeri perdaya mangsa

Foto Media Sosial
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Bermodalkan dokumen waran tangkap atau notis kehadiran yang mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang pensyarah universiti di Perak kerugian RM98,000 akibat terpedaya dengan taktik terbaharu sindiket ‘phone scam’.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini pihaknya menerima dua laporan berkaitan modus operandi (MO) sindiket berkenaan yang menggunakan tandatangan jawatan Ketua Polis Perak dan Perlis.
Menurutnya, pada 14 Jun lalu, pensyarah terbabit menjadi mangsa sindiket itu yang menyamar sebagai pihak polis.
“Sindiket terbabit bertindak menghantar notis kehadiran yang mempunyai logo polis dan ditanda tangani Ketua Polis Perlis, yang mendakwa mangsa disyaki terlibat dengan kes berkaitan penyeludupan dadah dan penggelapan wang berjumlah RM2.8 juta.
“Mangsa yang takut telah diperdaya dan mendedahkan maklumat peribadi dan bank sehingga mengalami kerugian sebanyak RM98,000 yang telah dikeluarkan oleh sindiket secara pindahan wang,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mohd Yusri berkata terdahulu, pada hari yang sama, pihaknya turut menerima laporan daripada seorang peniaga kedai makan di Teluk Intan.
Katanya, peniaga tersebut menerima panggilan telefon yang mendakwa terdapat kiriman bungkusan yang mengandungi bahan terlarang atas nama pengadu.
“Pengadu dikatakan terlibat dalam kes berkaitan dadah dan pengubahan wang haram serta mempunyai waran tangkap polis.
“Notis kehadiran yang mempunyai logo polis dan perjawatan Ketua Polis Perak telah dihantar oleh sindiket itu ke telefon bimbit pengadu.
“Namun, pengadu tidak terpedaya dan tidak mengalami sebarang kerugian,” katanya.
Mohd Yusri berkata, sindiket tersebut adalah penyumbang utama jenayah penipuan atas talian (online) di negeri ini apabila 358 kes direkodkan sepanjang tahun lalu dengan kerugian kira-kira RM15.1 juta.
Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula, 181 kes dicatatkan membabitkan kerugian lebih RM8 juta.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai sebarang urusan berkaitan wang dan perbankan melalui telefon.
“Pihak polis tidak menjalankan urusan berkaitan jenayah secara perbualan telefon, kecuali untuk memaklumkan mengenai perjumpaan secara bersemuka,” jelasnya.
#PerakKini #PDRM #phonescam #KetuaPolisPerak #RBZ
