Konstabel cuba rogol gadis di tandas stesen minyak ditahan

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang anggota polis berpangkat konstabel diberkas selepas dipercayai cuba merogol gadis berusia 19 tahun di tandas stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata melalui laporan polis yang diterima daripada mangsa kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 pagi.

Menurutnya, susulan laporan itu membawa kepada penahanan suspek berusia 23 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

“Polis berjaya memperolehi perintah tahanan reman terhadap suspek selama lima hari bermula hari ini (Ahad) sehingga 22 Jun untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan merogol.

“Kertas siasatan kes ini sedang dikemas kini dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” jelasnya.

Mohd Yusri berkata, polis memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku dilakukan.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut sehingga boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.

#PerakKini #PDRM #konstabel #cuba #rogol #gadis #ditahan #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *