Gaji minimum RM1,500 majikan kurang 5 pekerja berkuat kuasa hari ini: Apa kata rakyat

Foto Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Mulai hari ini penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja berkuat kuasa seperti yang diputuskan kerajaan pada akhir tahun lalu.

Penguatkuasaan di bawah Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 itu membabitkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.

Pekerja swasta, Leeyana Rahman, 25, berkata penguatkuasaan gaji minimum ini amat bertepatan dengan keadaan ekonomi sekarang yang semakin meningkat.

“Semoga dengan penguatkuasaan gaji minimum ini dapat membantu pekerja yang terbabit dalam sektor berkaitan,” katanya pada Sabtu.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan supaya majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dibenarkan menangguhkan pemberian gaji minimum terbabit sehingga enam bulan, berbanding ditetapkan 1 Januari lalu sebelum ini.

Pelaksanaan gaji minimum baharu diluluskan kerajaan pada 19 Mac 2022 dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April, tahun lalu.

Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 kemudiannya dikuatkuasakan 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Namun bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, kerajaan membenarkan penangguhan pelaksanaan gaji minimum itu sehingga hari ini.

#PerakKini #GajiMinimum #RM1500 #kerajaan #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *