JBPM Perak, NGO Wanita Perak julung kali kolaborasi laksana ibadah korban

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak buat julung kali mengadakan kolaborasi dengan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak) bagi melaksanakan ibadah korban yang diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, di sini pada Jumaat.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata seramai 70 anggota terbabit dalam program tersebut melibatkan BBP Pasir Putih, Bidor, Kampar, Seri Iskandar, Kuala Kangsar dan Meru Raya.

Menurutnya, turut bekerjasama dalam program ini adalah beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Wanita Perak Prihatin, WI Negeri Perak, Kelab Wanita Ikon Malaysia, Pertubuhan Ibu Tunggal Nur Kasih, Pertubuhan Amal Kebajikan Kinta, Pink Champion Perak serta Persatuan Suri dan Anggota Bomba Wanita Perak.

“Kerjasama BBP Meru Raya bersama enam balai lain serta kolaborasi dengan NGO membantu mempercepatkan proses ibadah korban yang dilaksanakan pada hari ini.

“Selain Meru Raya, BBP Sungai Siput dan Ipoh juga akan menjalankan ibadah korban esok di balai masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengedarkan daging korban kepada peserta sewaktu Program Imarah Aidiladha Wanita Perak Bersama JBPM Perak 2023 yang diadakan di BBP Meru Raya, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Wanita Perak, Jamaliah Zakaria yang mewakili Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Salbiah Mohamad.

Dalam perkembangan berkaitan, Sayani berkata sebanyak lima ekor lembu dan dua ekor kerbau dikorbankan.

Katanya, ia adalah sumbangan daripada Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Salbiah Mohamad serta peserta korban.

“Daging korban tersebut akan diagihkan kepada peserta korban, masyarakat di sekitar Meru Raya dan golongan asnaf melalui NGO yang terlibat.

“Sehubungan itu, pada masa akan datang, kita akan tarik NGO lain bukan sahaja untuk program seperti ini tetapi memperluaskan program memperkasa kesedaran keselamatan awam kepada NGO terlibat,” jelasnya.

#PerakKini #JBPM #WanitaPera #korban #MeruRaya #RBZ

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *