Mekanik kerugian RM200,000 selepas diugut sebar video lucah oleh ‘Yaya’

Foto Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

KUALA KANGSAR – Seorang mekanik berputih mata selepas kerugian RM200,000 apabila wanita bernama Yaya yang dikenalinya menerusi Facebook menggugut untuk menyebarkan video rakaman aksi lucah di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun, pada jam 1.49 tengah hari semalam.

“Hasil soal siasat mendapati, mangsa mengenali suspek melalui media sosial Facebook dengan menggunakan nama ‘Yaya’ dan suspek kemudiannya meminta mangsa untuk menerima panggilan video daripada suspek dengan alasan ingin menunjukkan sesuatu yang ‘istimewa’ kepada mangsa.

“Selepas menerima panggilan tersebut, mangsa melihat suspek berada dalam keadaan berbogel dan melakukan aksi ghairah kepada suspek.

“Mangsa yang terpengaruh dengan aksi tersebut turut sama berbogel dan melakukan perkara yang tidak senonoh bersama suspek dan tidak menyedari bahawa aksi tersebut dirakam oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, mangsa hanya menyedari aksinya dirakam setelah suspek menghantar rakaman tersebut kepada mangsa sejurus menamatkan panggilan.

“Berikutan itu, mangsa diugut supaya memberikan wang kepada suspek dan mangsa membuat pemindahan wang sebanyak 38 kali secara perbankan atas talian ke atas lima akaun pemilik yang berbeza,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang baru sahaja dikenali melalui media sosial sehingga boleh mempengaruhi untuk melakukan perkara yang diluar dugaan, seterusnya menjadi mangsa terhadap jenayah pemerasan,” jelasnya.

#PerakKini #PDRM #ugut #sebar #video #lucah #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *