Mayat lelaki disyaki pesakit mental ditemui terapung di lombong

Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di lombong dekat Menglembu pada Selasa. - Foto Ihsan IPD Ipoh
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang lelaki dipercayai pesakit mental ditemui lemas di lombong di Taman Rasi Jaya, Menglembu, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 9.45 pagi berhubung penemuan mayat lelaki tersebut.
Menurutnya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung dengan jarak lebih kurang 10 meter dari lombong tersebut.
“Pasukan siasatan turut menemui sebuah motosikal jenis Honda EX5, atas nama mangsa dan sepasang selipar di tepi tebing lombong disyaki milik mangsa.
“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu mengeluarkan mayat dari lombong pada jam 10.50 pagi dan hasil pemeriksaan terhadap badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Yahaya berkata pemeriksaan lanjut turut menjumpai kad pengenalan mangsa di bahagian kanan poket seluar mangsa.
“Semakan lanjut dengan abang mangsa mendapati mangsa masih bujang dan seorang pesakit mental. Mangsa juga tinggal Bersama abang dan adik lelakinya di Kampung Baru Buntong,” ujarnya.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat yang dijadualkan pada jam 9 pagi esok dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#PerakKini #PDRM #JBPM #lelaki #sakitmental #lemas #Menglembu #RBZ
