RTVBK KEBANGGAAN WARGA BATU KURAU

Oleh DAMANHURI RASHID

BATU KURAU: Bukan sesuatu yang mudah untuk mempertahankan jati diri sesuatu bahasa dan budaya masing-masing kecuali mempunyai tekad yang ikhlas dan usaha yang tinggi.

Radio TV Batu Kurau (RTVBK) adalah satu contoh di mana satu usaha gabungan masyarakat setempat berjaya melonjak nama produk itu dan membawa nama tempat, bahasa dan budaya hingga dikenali ke seluruh dunia. Kini ramai yang mengenali Batu Kurau bukan sekadar lokasi lubuk raja buah durian, tetapi juga sebagai sebuah daerah yang mempunyai bahasa dan budaya yang unik. Semuanya hanya kerana RTVBK!

RTVBK adalah stesen radio online yang diwujudkan sejak 2014. Didirikan atas inisiatif mahu mengembangkan bahasa Melayu Patani Batu Kurau ke seluruh pelusuk alam. Dengan tagline Jeghomoh Kita Serata Dunia, RTVBK telah berjaya menggumpul lebih 35,000 pengikut di alam maya.

Majoriti masyarakat Batu Kurau menggunakan dialek bahasa Melayu Patani sejak dahulu kala.

RTVBK kini menjadi kebanggaan masyarakat Batu Kurau semua juruhebahnya menggunakan 100% bahasa dialek Melayu Patani dalam segmen-segmen mereka. Dialek Melayu Patani digunakan secara meluas bukan sahaja di Batu Kurau, malah beberapa daerah lain di negeri Perak dan Kedah seperti di Pengkalan Hulu, Gerik, Selama, Lenggong, Bukit Gantang (Perak) dan Sik, Mahang, Kuala Nerang, Baling, Kuala Ketil (Kedah).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau, YB Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria, beliau merasa bangga atas inisiatif anak-anak jati Batu Kurau mewujudkan RTVBK kerana usaha ini boleh memperkenalkan Batu Kurau dengan lebih jauh lagi.

“Saya sememangnya sejak dari awal lagi penubuhan RTVBK, saya memberi sokongan penuh dan membantu dari segi moral dan kewangan agar RTVBK terus berjasa kepada penduduk Batu Kurau dengan memberi informasi dan maklumat kepada pendengar/penonton,” ujar Muhammad Amin.

YB DATO’ DR MUHAMMAD AMIN ZAKARIA Adun Batu Kurau

RTVBK kini mempunyai 3 buah studio konti iaitu di Batu Kurau, Tanjung Malim dan Bangi, Selangor. 4 juruhebah berkaliber bergilir membawa segmen masing-masing setiap hari di live facebook. Juruhebah yang terlibat secara sukarela itu ialah Mohd Syakrani (DJ Barney), Mohd Zafri Kasim (DJ Awang), Salim Zolaawal (DJ Salim dan Tarimizi Kasim (DJ Mizi Toklang).

DJ AWANG
DJ SALIM
DJ BARNEY
DJ MIZI TOKLANG

“Kami di RTVBK bukan mengejar rating atau viewer penonton, tetapi niat kami ikhlas untuk membawa bahasa dan budaya orang-orang Batu Kurau agar terus dikenali,” ujar DJ Awang yang mempelopori dunia penyiaran di RTVBK sejak awal penubuhan.

Menurut DJ Awang, walaupun ada beberapa individu juga melakukan live kononnya berkonsepkan radio atas nama Batu Kurau, tetapi itu hanya suka-suka dan tidak mewakili masyarakat Batu Kurau secara khususnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *