DERITA BELI UBAT SECARA ONLINE

Oleh Intan Efazila Md Yusop
MUALLIM:Akibat makan ubat dan mengamalkan petua rawatan secara dalam talian dipercayai daripada pengamal perubatan tidak bertauliah, seorang warga emas terpaksa menanggung sakit kaki dan deman kira-kira seminggu setelah makan ubat dan menggunakan campuran pelik bagi merawat kaki, dekat sini.
Sebelum ke klinik, difahamkan warga emas berusia 70an dan juga penghidap penyakit kencing manis membeli ubat dan mengamalkan petua mengubat sakit kakinya itu secara atas talian tanpa berjumpa doktor sama ada di klinik atau hospital.
Pengasas Perkhidmatan Klinik Doktor Bergerak (DOC MOVE), Dr Hanafi Yahya berkata warga emas terbabit itu ditemui baru-baru ini, ketika datang ke klinik mengadu sakit kaki dan deman setelah makan ubat kencing manis dan mempraktikkan petua merawat kaki secara atas talian.


Katanya, hasil perbualan dengan warga emas terbabit, warga emas itu memaklumkan beliau membeli ubat dan menggunakan campuran pelik itu bertujuan untuk merawat kakinya yang bengkak akibat penyakit kencing manis yang dihadapi selama ini.
” Saya terkejut bila melihat keadaan kaki warga emas terbabit yang penuh dengan campuran bawang merah dan putih serta halia dan daun pegaga sambil kaki dibalut dengan plastik ketika saya membuat rawatan.
” Bila ditanya kepada warga emas terbabit, beliau memberitahu tindakannya menggunakan campuran itu bertujuan untuk merawat kakinya yang bengkak itu setelah mempelajari petua atau rawatan secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi, dekat sini.
Dr Hanafi berkata tindakan warga emas itu bukannya boleh menyembuh sakit yang dialaminya, malah menyebabkan jangkitan kuman lebih teruk dan semakin merebak kerana permukaan kaki telah menjadi lembab setelah disapu dengan campuran pelik serta dibalut dengan plastik itu.
” Sepanjang saya berkhidmat sebagai doktor, inilah kali pertama saya bertemu dan merawat pesakit yang mengamalkan petua campuran pelik yang dipelajari secara dalam talian untuk mengubat kaki.
” Tujuan saya berkongsi pengalaman ini adalah semata-mata untuk memberi pengajaran kepada orang ramai iaitu jangan sesekali mudah terpedaya dengan kaedah atau petua rawatan secara dalam talian terutama daripada pengamal perubatan yang tidak bertauliah,” katanya.
Beliau berkata, bagi penyakit sebegini, sebaik-baiknya berjumpalah doktor sama ada di klinik atau hospital berdekatan bukannya merawat melalui secara dalam talian yang kadangkala boleh memberi kesan akibat yang lebih mudarat.
