Saksi, orang awam kes remaja OKU warga Indonesia maut dalam kebakaran diminta tampil bantu polis

Oleh Rosdalilah Zahari
MANJUNG – Polis meminta orang ramai atau saksi kejadian kes remaja orang kurang upaya (OKU) warga Indonesia berusia 15 tahun yang maut dalam kejadian di Kampung Dato’ Seri Kamaruddin, Seri Manjung, di sini untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk berhubung dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh orang awam kira-kira 4.08 petang Selasa.
“Sejurus menerima maklumat tersebut, anggota dari IPD Manjung bersama anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Manjung serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) Daerah Manjung bergegas ke lokasi untuk memadam kebakaran.
“Siasatan polis ke rumah itu menemui seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 15 tahun meninggal dunia.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada masa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurutnya, mangsa adalah OKU yang mempunyai rekod rawatan sawan di HOSPITAL Seri Manjung dan tinggal bersama ibu serta kakaknya di rumah berkenaan.
“Ketika kejadian mangsa berasa seorang diri dal rumah berkenaan.
“Mayat mangsa dihantar ke HSM untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Mohamed Nordin berkata setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
#PerakKini #PDRM #JBPM #remaja #oku #Indonesia #maut #kebakaran #Manjung #RBZ
