AMANAH PERAK SAMBUT BAIK PENGGANTUNGAN RAZMAN

AMANAH PERAK SAMBUT BAIK PENGGANTUNGAN RAZMAN
IPOH — Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menyatakan sokongan terhadap keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menggantung Ketua Pembangkang, Razman Zakaria selama enam bulan berikutan kenyataan berunsur fitnah, perkauman, dan hasutan semasa sidang DUN.
Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Dr. Ahmad Termizi Ramli, menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu langkah tepat dalam mengangkat martabat rakyat Perak yang menolak politik kebencian dan memilih budaya politik yang berasaskan fakta serta nilai moral yang tinggi.
“Keputusan ini bukan sahaja menguatkuasakan peraturan dewan, tetapi merupakan manifestasi penolakan rakyat terhadap politik berunsur emosi dan fitnah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegur tindakan Razman yang dilihat mencemarkan imej Islam meskipun sering tampil sebagai tokoh agama.
“Agama tidak pernah mengajar kebencian, perpecahan atau penipuan – sebaliknya mengangkat nilai amanah, adab dan kebenaran,” tambahnya.
Mengulas suasana menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Ayer Kuning, Dr. Ahmad Termizi menekankan bahawa insiden ini perlu menjadi pengajaran tentang pentingnya integriti dan kejujuran dalam kepimpinan.
“Cukuplah dengan politik lama yang memecah belah – marilah kita bina semula keyakinan rakyat dengan politik bersih dan matang,” katanya lagi.
AMANAH Perak menyuarakan keyakinan bahawa rakyat kini lebih matang dalam menilai pemimpin, dan menyeru agar semua pihak meninggalkan pendekatan politik sempit demi masa depan negeri dan negara.



