ADUN BOTA MOHON PINDAH KUARANTIN KE TEMPAT LAIN

KENYATAAN MENGENAI PUSAT KUARANTIN COVID-19 DI SERI ISKANDAR

1. Selaku ADUN Kawasan Bota, menjadi tanggungjawab saya untuk memberi maklumbalas atas keluhan dan kegelisahan masyarakat setempat atas pemilihan D’Hotel Seri Iskandar sebagai sebuah Pusat Kuarantin COVID-19.

2. Untuk makluman, Pusat Kuarantin atau D’Hotel Seri Iskandar ini terletak di pusat ekonomi masyarakat dan merupakan kawasan tumpuan penduduk Seri Iskandar dan kawasan Bota serta sekitarnya. Pemilihan D’Hotel telah menimbulkan kegusaran dan rasa panik kepada masyarakat setempat dan menyebabkan mereka menjauhi kawasan ini.

3. Akibatnya, ia merencatkan aktiviti ekonomi dan sosial seterusnya menjejaskan pendapatan para peniaga di kawasan ini yang baru saja mahu pulih selepas PKP sejak 3 bulan dahulu.

4. Saya amat yakin akan kemampuan pihak berautoriti iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengurus tadbir Pusat Kuarantin ini dengan SOP yang telah ditetapkan. Ini terbukti apabila segala usaha kerajaan sebelum ini diiktiraf di mata dunia.

5. Oleh yang demikian saya amat berharap agar pihak MKN dan KKM untuk membuat kenyataan rasmi bagi meredakan kegusaran yang dialami oleh masyarakat disini.

6. Saya juga merayu dan mencadangkan agar Pusat Kuarantin ini dipindahkan di lokasi lain yang lebih sesuai dan bukan tempat tumpuan orang ramai. Ini disebabkan D’Hotel tersebut adalah berkongsi bangunan dengan sebuah pusat membeli-belah, restoran, pusat boling, panggung wayang dan berada di pusat aktiviti perniagaan di Bandar Seri Iskandar.

KHAIRUL SHAHRIL MOHAMED
ADUN Kawasan Bota.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *