PUPUK SEMANGAT MERDEKA HIAS LAMAN DENGAN BENDERA

BAGAN SERAI– Seorang pesara guru di Taman Semanggol Permai, disini, sanggup menghiasi laman dan sekeliling rumahnya dengan ratusan bendera Malaysia pelbagai saiz beserta kain rentang bertemakan hari kemerdekaan bagi memastikan generasi kini tidak alpa dan terus lupa sejarah terbesar negara.
Menyedari kurangnya semangat kemerdekaan generasi kini, ditambah pula dengan masalah wabak Covid-19 yang melanda dunia, Sahariman Abdul Manaf, 61 dan isteri sanggup menggunakan segenap sudut laman dan luaran rumah yang berkonsepkan pertanian untuk dihiasi dengan bendera dan kain rentang ucapan hari kemerdekaan bagi dipertontonkan kepada semua.
Sahariman berkata tujuannya hanya satu, iaitu mahukan masyarakat khususnya golongan muda sentiasa memperingati sejarah kemerdekaan tidak kira dimana sahaja.




” Sebagai pesara guru, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mendidik dan memperingatkan anak murid tentang sejarah kemerdekaan negara kita.
” Jadi tanggungjawab ini saya kekalkan biarpun sudah bersara, cuma penyampaiannya berbeza dengan harapan masyarakat kita yang berbilang bangsa, tidak kira peringkat umur, agar tidak lupa tarikh keramat 31 Ogos 1957,”ujarnya ditemui media di kediamannya, petang tadi.
Sahariman berkata sejurus bersara pertengahan tahun 2018, dia menghabiskan masa lapang dirumah dengan menanam pelbagai tumbuhan seperti tanaman kontan, hiasan dan bonzai di laman dan sekeliling rumah.
” Rumah ini lebih berkonsepkan pertanian namun setiap pokok-pokok yang ditanam, saya dan isteri selitkan bendera Malaysia bagi memberikan sedikit kelainan.
” Biarlah apa orang nak kata, namun bagi saya inilah cara untuk saya dan isteri persembahkan kepada umum semangat dan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia dalam menyambut bulan kemerdekaan, ” katanya.
Sahariman yang turut menyertai Pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan Peringkat Daerah Kerian, kategori kediaman peesendirian, tidak menaruh harapan untuk memenangi pertandingan itu sebaliknya lebih mengutamakan motifnya yang mahu memastikan penduduk sekitar dan masyarakat sekeliling memperingati bulan kemerdekaan.

