Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq setuju cadangan pencen ahli politik dimansuhkan

Oleh Rosdalilah Zahari

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setuju dengan cadangan pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid supaya pencen untuk semua menteri dan ahli Parlimen dimansuhkan.

Menurutnya, sebaliknya mereka perlu dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang dilakukan rakyat biasa.

“100 peratus setuju dengan cadangan tiada pencen untuk ahli politik. Termasuk saya.

“Sekarang ini pencen ahli politik lagi berganda daripada penjawat awam yang berkhidmat puluhan tahun.

“Ahli politik masuk pejabat, terus dapat pencen seumur hidup,” katanya menerusi ciapan di X pada Rabu.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata ada dalam kalangan ahli politik yang menjadi menteri, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendapat pencen berganda kerana mereka diberikan pelbagai jawatan dalam badan kerajaan.

“Pencen yang bertingkat-tingkat pula. Menteri, ahli Parlimen, ADUN macam-macam jawatan.

“Wajar cadangan letak di bawah KWSP, sama seperti rakyat biasa,” jelasnya.

Terdahulu sebuah portal melaporkan, Muhammed yang juga bekas penasihat ekonomi Perdana Menteri berpendapat semua menteri dan ahli Parlimen patut ‘diajar’ untuk merasai kesempitan hidup seperti dilalui orang kebanyakan dengan membatalkan pencen mereka dan mencadangkan mereka dimasukkan ke skim caruman KWSP seperti orang lain.

#PerakKini #mansuh #pencen #ahlipolitik #KWSP #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *