Kehadiran Ahmad Zahid pada Persidangan DAP 2023 bukan propaganda politik

Oleh Rosdalilah Zahari

BAGAN DATUK – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap tiada pihak yang memanipulasikan kehadirannya pada Persidangan DAP 2023 dan menganggap ia adalah satu lagi propaganda politik melibatkan UMNO dan DAP.

Sebaliknya, beliau menjelaskan kehadirannya adalah untuk menyantuni Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook dan beberapa kepimpinan parti itu yang pernah menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada Jun lalu.

“Ini pertama kali dalam sejarah seumur hidup saya menghadiri mana-mana perhimpunan agung parti.

“Kehadiran saya diiringi sambutan tepukan gemuruh secara ikhlas yang turut mengejutkan saya.

“Saya harap tidak ada interpretasi pelbagailah sebab dulu, sembilan bulan yang lalu kita jadi seteru politik tetapi hakikatnya dalam kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim landskap politik telah berubah dan kita menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup Malaysia Next Leaders Bagan Datuk 2023 di Dewan Dato’ Lope Hashim pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Faisalludin Mohamat Yusuff.

Ahmad Zahid berkata Anthony Loke turut mengulang semula perkara-perkara yang termaktub Perlembagaan Persekutuan supaya dihormati sewaktu memberikan ucapan dasar pada persidangan tersebut.

“Saya berharap ini tidak akan mengelirukan masyarakat Islam dan orang Melayu. Lihat keberhasilannya di (Pilihan Raya Kecil Parlimen) Pulai dan di (Dewan Undangan Negeri) Simpang Jeram kombinasi pengundi pelbagai kaum telah memenangkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Persidangan DAP 2023 yang berlangsung di Hotel Putrajaya Marriott, Putrajaya mencipta sejarah tersendiri apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada hari ini.

Turut bersama-sama beliau adalah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari turut kelihatan hadir pada persidangan berkenaan.

#PerakKini #DAPMalaysia #UMNO #AMANAH #PKR #MalaysiaMadani #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *