ANAK PANGKOR PERTAMA DIGELAR PENYANYI RAKAMAN

Oleh: Norsharuddin Sapian
PULAU PANGKOR: Tujuh tahun lalu, anak kelahiran Pulau Pangkor, Perak ini hanya diketawakan rakan-rakan sebaik sahaja menyatakan hasratnya menjadi artis rakaman.
Ahmad Razi Mat Akhir yang kini berusia, 53 tahun menjadikan ejekan tersebut sebagai pembakar semangat beliau dan berikrar untuk membuktikan kepada mereka semua bahawa Anak Pangkor juga mampu bergelar artis!
Berbekalkan wang simpanan yang ditabung hasil dari gaji menerusi beberapa jawatan yang disandang di beberapa Jabatan kerajaan sebelum itu termasuk sumbangan rakan-rakan yang mendorong hasratnya, pemilik nama OG Pangkor itu terus mengorak langkah kehadapan.
Sebaik sahaja mendapat restu dari ibunya, Halimah Mat Lana; bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkor dan lulusan Pusat Latihan Belia Peretak, Selangor Sessi 2/88 itu terus bernekad ke Kuala Lumpur bagi mencapai cita-citanya untuk merakam lagu.



“Pada masa itu, banyak kata sinis yang saya terima. Tambahan pula saya sudah berumur. Tapi saya anggap ianya satu perkara biasa.
“Sebenarnya, langsung tidak terlintas di fikiran ini untuk menjadi penyanyi, lebih-lebih lagi artis rakaman.
“Namun, hasil dorongan rakan iaitu mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir (yang juga anak kelahiran Pulau Pangkor), artis Paklah Cecupak dan Alang SYJ saya meneruskan hasrat tersebut,” kata peminat tegar lagu-lagu ciptaan Seniman Negara Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab itu.
Selepas diperkenalkan rakan, beliau akhirnya memilih Loonaq Record dan PakLah Cecupak Production bertindak sebagai penerbit, Single pertamanya: Nyanyian Sebuah Lara (Komposer dan Lirik: OG Pangkor) pada tahun 2014.
Pelancaran single pertama itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (ketika itu), Allahyarham Datuk Noriah Kasnon yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar sempena Majlis Perhimpunan bekas pelatih Pusat Latihan Belia Peretak, Selangor di Sungai Limau Resort, Sungai Besar, Selangor.
Beliau turut menghasilkan EP Kasih Yang Pudar Terbitan OG Pangkor dan Rakaman Ilham Cipta yang menampilkan lima buah lagu: Kasih Yang Pudar (Komposer: Mamat Honey, Lirik: OG Pangkor); Di Perhentian Usang (Komposer: Mat Din/OG Pangkor, Lirik: A. Lokman); Warkah Pilu (Komposer: Mamat Honey, Lirik: OG Pangkor); Jika Ku Tiada (Komposer dan Lirik OG Pangkor) dan lagu bonus: Nyanyian Sebuah Lara (Komposer dan Lirik: OG Pangkor).
“Saya sebenarnya lebih kearah hendak berkarya, mencipta lagu berkonsepkan malar segar.
“Lagu dulu-dulu seolah-olah ada aura tersendiri dan tidak jemu mendengarnya,” katanya.
Ditanya kenapa memilih nama OG Pangkor dalam menghasil karya-karyanya, beliau berkata: “Saya mahu menjadi duta tidak rasmi kepada pulau peranginan, tempat kelahiran saya itu.
“Mungkin hanya ini sumbangan yang mampu saya berikan demi memperkenalkan Pulau Pangkor yang bukan sahaja cantik, malahan penuh dengan kesan peninggalan sejarah,” kata pelantun lagu Nyanyian Sebuah Lara yang kerap kali disiarkan di saluran radio Nasional FM dan Radio Malaysia Perak FM itu.
Bagi meneruskan minatnya sebagai artis rakaman, beliau juga sedang giat menghasilkan single terbarunya, Kau Tak Akan Fahami lagu ciptaan Nick Cdw dan OG Pangkor, manakala liriknya dari puisi karya Profesor Lim Swee Tin.
Bagaimanapun, rakaman single terbarunya itu terpaksa ditangguhkan berikutan penularan wabak Coronavirus (Covid-19) yang sedang melanda seluruh dunia.
“InsyaAllah, saya akan meneruskan minat saya dalam seni hiburan ini dan berazam mencipta lebih banyak lagi lagu termasuk puisi selain cuba menarik generasi muda terutamanya penduduk Pulau Pangkor dalam dunia seni,” katanya yang juga Biro Pemuisi Perak, Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia.

