Anwar pertimbang cadangan bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media yang diadakan di Pejabat Majlis Pimpinan PKR Perak, pada Khamis.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mempertimbangkan cadangan untuk bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu cadangan tersebut telah diusulkan namun belum ada keputusan muktamad.
“Ia (bertanding di Parlimen Tambun) satu cadangan yang sedang saya pertimbangkan. PKR Cabang Tambun ada usulkan, namun saya belum putuskan lagi.
“Kawan-kawan di Port Dickson pun merayu supaya saya terus kekal di sana. Jadi, saya kena fikir dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, PKR Cabang Tambun mahu memberi laluan kepada Presiden parti itu, untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.
Menyentuh berhubung kerusi dan calon PRU15 bagi PKR Perak, Anwar berkata perkara itu akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Presiden yang diadakan pada minggu hadapan.
Terdahulu, Anwar mengumumkan Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dilantik sebagai Pengerusi MPN Perak.
Lih Kang yang ditemui berkata, beliau akan mengumumkan pelantikan barisan MPN Perak dalam masa terdekat.
Menurutnya, barisan pimpinan itu akan terdiri dari pelbagai latar belakang yang mempunyai pengalaman dalam menghadapi pilihan raya.
#PerakKini #PKR #ParlimenTambun #PRU15 #Perak
