Perak negeri pertama laksana Program Jelajah Jom Reset IBM

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Perak menjadi negeri pertama Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengadakan Program Jelajah Jom Reset Ibu Bangsa Malaysia (IBM) yang diadakan selama dua hari sehingga esok.

Pengganti Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, bagi siri jelajah di Perak, ia dimulai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong diikuti Malim Nawar dan Tronoh.

Katanya, siri jelajah ini adalah pengenalan PBM kepada rakyat khususnya di Perak selain memperkenalkan kepimpinan PBM Perak dan Pusat.

Menurutnya, sambutan yang diberikan penduduk Buntong amat menggalakkan memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam amat dikenali penduduk tempatan.

“Sambutan masa turun di Dun Buntong amat menggalakkan kerana YB (Yang Berhormat) Sivasubramaniam sudah empat penggal di sini, jadi dari segi personaliti, rakyat amat mengenali beliau.

“Kita percaya walaupun PBM parti baharu, tetapi Adun dan Ahli Parlimen yang berada dalam parti ini sudah berkhidmat beberapa penggal di kawasan masing-masing.

“Jadi ini memudahkan kita (PBM) untuk berkempen dalam persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Jom Reset IBM dan merasmikan Pejabat PBM Perak di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PBM Perak di Jalan Lim Bo Seng di sini, pada Sabtu.

Pada program itu Zuraida turut meluangkan masa melawat rumah orang kurang berkemampuan dan uzur di Kampung Tersusun Buntong.

“Saya telah melawat penduduk di kawasan itu dan ada beberapa perkara yang mereka minta. InsyaALLAH kita akan cuba usahakan,” ujarnya.

Siri kedua jelajah ini akan berlangsung di Selangor iaitu di Ampang, Sementa, Kapar, Ulu Selangor sebelum meneruskannya ke Johor, Tebrau dan Negeri Sembilan.

#PerakKini #PBM #JomResetIBM #Buntong #Ipoh #Perak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *