Anwar ziarah rakan MCKK, gamit memori lama selepas 50 tahun tidak bertemu

Foto BERNAMA
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sekolahnya, Ahmad Fawzi Shafii, 75, ketika sama-sama menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menggamit memori lama selepas 50 tahun tidak bersua muka.
Pertemuan singkat kedua sahabat yang berlangsung selama 20 minit itu diadakan di Desa Seri Ampang di sini.
Rakan Anwar itu didiagnosis sebagai penghidap ‘Chronic Schizophrenia’ dan sudah terlantar di rumah sejak dua bulan lalu.
Ahmad Fawzi yang pernah sebilik dengan Anwar sewaktu mereka melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) kelihatan ceria dengan kehadiran Anwar yang menziarahinya.
Anwar dan Ahmad Fawzi sempat bergurau senda mengimbas kembali kenangan semasa muda dan merakam foto bersama rakan lamanya itu serta keluarga.
Sementara itu, adiknya Jama’iyah Shafii, 62, memberitahu abangnya sungguh teruja sehingga menitiskan air mata ketika dimaklumkan bahawa rakan lamanya sudah menjadi Perdana Menteri dan akan bertemunya hari ini.
“Walaupun ingatannya tidak kuat namun dia masih ingat kawan-kawan lama termasuklah Anwar Ibrahim malah menangis kerana terharu apabila Alumni MCKK memaklumkan bahawa beliau akan menziarahinya,” katanya.
Menurutnya, Ahmad Fawzi yang pernah bertugas di sebuah bank tidak pernah berkahwin kini dijaga oleh adiknya itu.
Anwar kemudiannya meneruskan sesi lawatan ke Perak dengan merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun di Tambun.
#PerakKini #PMX #AnwarIbrahim #MCKK #UM #RBZ
