Insiden pesawat ringan terhempas: Allahyarham Fajim Juffa dikebumikan di Semenyih

Allahyarham Fajim yang dibawa menaiki van jenazah TUDM diiringi keluarga.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Ahli keluarga dan sanak saudara memenuhi perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menuntut jenazah jurulatih penerbangan yang terkorban dalam tragedi pesawat ringan terhempas semalam.

Tinjauan Perak kini turut mendapati kenalan serta rakan setugas dari Tentera Udara Malaysia (TUDM) berada di kawasan berkenaan.

Petugas media juga berada di luar Jabatan Forensik HRPB bagi membuat liputan perkembangan semasa.

Semalam, Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, maut dalam kejadian pesawat ringan jenis Piper PA 28-161 terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah – Sungai Rokam berhampiran jejantas menuju ke Sungai Pinji dekat Medan Gopeng, di sini.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi jurulatih penerbangan, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, berasal dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera dan masih dirawat di hospital sama.

Bapa saudara Allahyarham yang mahu dikenali sebagai Radzi, 57, berkata jenazah Fajim Juffa akan dibawa pulang ke Semenyih selepas selesai proses bedah siasat.

Bapa saudara Allahyarham Fajim yang mahu dikenali sebagai Radzi ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, hari ini.

Menurutnya, jenazah akan dibawa ke di Surau Al Kauthar Bandar Tasik Kesuma, Beranang untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran.

“Ujian Covid-19 sudah dijalankan ke atas arwah dan keputusan didapati negatif dan kini proses bedah siasat sedang berlangsung,” katanya.

Jenazah Allahyarham Fajim dibawa keluar menaiki van jenazah TUDM kira-kira jam 2.45 petang diiringi kenderaan keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid memaklumkan keputusan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan tengkuk dan dada akibat penerbangan.

Beliau berkata bedah siasat yang bermula jam 10.30 pagi itu selesai jam 1.15 petang tadi.

#PerakKini #pesawatringan #kapalterbang #terhempas #Ipoh #Perak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *