Atlet takraw dipijak senior

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini dipercayai dibuli selepas ditendang dan dipijak oleh pelajar senior Tingkatan Lima dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara.

Menurutnya, kejadian ini membabitkan dua atlet sepak takraw sekolah tersebut dan laporan polis sudah dibuat oleh penjagannya di Kuala Lumpur.

“Mangsa adalah pelajar Tingkatan Tiga manakala pelaku adalah Tingkatan Lima dan sememangnya pihak penjaga telah pun buat laporan kepada polis di Kuala Lumpur di atas faktor keselamatan kepada mangsa.

“Pihak sekolah telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk menyelesaikan atau menyiasat kes-kes ini.

“Saya difahamkan pihak sekolah pun telah pun mendapat laporan penuh daripada mangsa dan juga pelaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Khairudin berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh untuk memastikan kronologi kejadian buli tersebut.

“Kejadian itu, memang berlaku. Cuma dari segi tahap kecederaan itu kita bergantung kepada pemeriksaan daripada pihak kesihatan.

“Tahap kecederaan masih belum di kenal pasti sama ada teruk ataupun cedera sikit sebab kita bergantung kepada laporan yang akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa khususnya daripada doktor ataupun pegawai pejabat kesihatan,” jelasnya.

#PerakKini #buli #sekolah #sepaktakraw #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *