collapse
Home / UMUM / LEBIH 150,000 KENDERAAN SEHARI DIJANGKA GUNA WCE

LEBIH 150,000 KENDERAAN SEHARI DIJANGKA GUNA WCE

28-Aug-2026  Mohd UmzarulFaiz Umar  119 views
LEBIH 150,000 KENDERAAN SEHARI DIJANGKA GUNA WCE

KLANG - West Coast Expressway (WCE) menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari di jajaran lebuh raya yang telah beroperasi sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan cuti sekolah.

Peningkatan trafik dijangka berlaku berikutan pertambahan pergerakan orang ramai  
untuk pulang ke kampung dan melakukan perjalanan antara negeri, khususnya antara  
Lembah Klang dengan destinasi lain di Selangor dan Perak.

IMG-20260828-WA0029
Sehubungan itu, WCE menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang  perjalanan lebih awal dan mengelakkan perjalanan pada waktu puncak, khususnya  dari lewat petang hingga malam.

“Kami menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari akan  menggunakan WCE sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah ini.  

Peningkatan ini selaras dengan corak perjalanan yang lazimnya lebih tinggi ketika musim cuti, khususnya bagi perjalanan antara Lembah Klang dengan destinasi di Selangor dan Perak,” kata Ir. Syed Muhd. Naguib, Ketua Operasi Lebuhraya WCE.

IMG-20260828-WA0032
“Lebih penting, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah, ramai rakyat  Malaysia akan berada di jalan raya untuk bersama keluarga dan mengunjungi  pelbagai destinasi. Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan setiap pengguna lebuh raya. Rancang perjalanan, dapatkan rehat yang secukupnya dan jangan sekali- kali menggadaikan keselamatan semata-mata untuk menjimatkan beberapa minit  perjalanan.”

WCE TINGKAT KESIAPSIAGAAN OPERASI 24 JAM

Bagi membantu memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat sepanjang tempoh cuti ini, WCE akan meningkatkan kesiapsiagaan operasi di sepanjang jajaran yang telah dibuka, termasuk rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang beroperasi 24 jam, selain pemantauan keadaan trafik secara berterusan.

IMG-20260828-WA0031
Pengguna digalakkan menggunakan aplikasi ‘WCE App’ untuk merancang perjalanan, mendapatkan panduan navigasi laluan serta memperoleh maklumat trafik masa  nyata, termasuk paparan CCTV secara langsung di sepanjang lebuh raya.

Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan supaya: 
• Memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan  perjalanan jauh;
• Memastikan baki kad Touch ’n Go atau e-wallet mencukupi sebelum memasuki  lebuh raya;
• Mematuhi had laju dan memakai tali pinggang keledar pada setiap masa;
• Mendapatkan rehat yang secukupnya dan berhenti berehat di hentian sebelah,  plaza tol atau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan di sepanjang  WCE sekiranya berasa letih
• Tidak menggunakan lorong kecemasan kecuali dalam keadaan kecemasan;
• Bagi penunggang motosikal, kawasan teduhan motosikal disediakan di  sepanjang lebuh raya untuk berehat sekiranya penat atau berteduh ketika  hujan; dan 
• Mengamalkan sikap sabar, bertimbang rasa dan berhemah, khususnya ketika  berhadapan dengan peningkatan trafik.
 

WCE turut mengingatkan penunggang motosikal supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada, khususnya ketika trafik meningkat.

IMG-20260828-WA0030
Lorong kecemasan bukan laluan  eksklusif untuk penunggang motosikal. Sebaliknya, lorong tersebut disediakan untuk  kegunaan kecemasan, operasi menyelamat, pengurusan insiden serta situasi luar  jangka yang memerlukan akses segera demi keselamatan semua pengguna dan  kelancaran aliran trafik di lebuh raya.

“Dalam semangat Merdeka, lebuh raya ini dikongsi bersama oleh kita semua. Keselamatan ialah tanggungjawab bersama, dan setiap perjalanan yang selamat  bermula dengan setiap keputusan yang kita ambil di jalan raya.”

IMG-20260828-WA0028
Bagi mendapatkan bantuan kecemasan di sepanjang WCE, pengguna boleh menghubungi WCE Infoline di talian 1700-81-6600, yang beroperasi 24 jam.

Selamat Hari Kebangsaan ke-69. Pandu selamat, tiba dengan selamat.


Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.