Bank Rakyat sedia ATM di Air Kuning, penduduk tak perlu lagi ke bandar sejauh 20 km ambil duit

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator K Saraswathy (kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria sewaktu meninjau operasi ATM di stesen minyak BH Petrol, Air Kuning pada Sabtu. - Foto Ihsan Bank Rakyat

Oleh Rosdalilah Zahari

TAPAH – Bank BANK Rakyat mengambil inisiatif menempatkan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di stesen minyak BH Petrol Air Kuning, di sini, bagi memudahkan penduduk untuk mengeluarkan wang tanpa perlu meredah perjalanan sejauh 20 kilometer (km).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator K Saraswathy berkata sebelum ini penduduk setempat ada meluahkan hasrat supaya sebuah ATM ditempatkan di kawasan tersebut.

Menurutnya, selepas mendengar keluhan penduduk, beliau memaklumkan perkara tersebut kepada Bank Rakyat yang dengan pantas menempatkan ATM di stesen minyak berkenaan.

“Kemudahan ATM yang beroperasi sejak Jun lalu itu adalah salah satu usaha Bank Rakyat dalam meluaskan akses dan saluran perkhidmatan perbankannya kepada masyarakat di kawasan tersebut.

“Saya berharap penempatan ATM Bank Rakyat di stesen minyak ini mampu memberikan mutu pengalaman dan perkhidmatan perbankan yang lebih baik kepada penduduk setempat untuk menjalankan urusan perbankan harian dengan mudah, selamat dan pantas,” katanya ketika meninjau operasi ATM berkenaan di stesen minyak BH Petrol pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata usaha penempatan ATM di stesen minyak tersebut membuktikan komitmen Bank Rakyat dalam menyediakan perkhidmatan perbankan asas untuk komuniti luar bandar terutama kepada masyarakat yang masih tiada dan kurang keperluan asas perbankan (unserved dan underserved) khususnya di kawasan luar bandar.

“ATM ini adalah satu-satunya yang terdapat di Air Kuning yang juga ATM terdekat terletak di Kampar dan Tapah.

“Bank Rakyat berharap dengan kemudahan yang disediakan ini dapat melancarkan urusan seharian penduduk di daerah ini dan tanpa perlu ke bandar untuk membuat transaksi pengeluaran wang,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator K Saraswathy (empat dari kiri) ketika merasmikan Kebun Nuri Nutrisi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Kuning pada Sabtu – Foto Ihsan Bank Rakyat

 

Sementara itu, Saraswathy turut merasmikan Kebun Nuri Nutrisi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Kuning yang menguruskan tanaman sayuran sawi putih (pak choy) sebanyak 480 pot dan dianggarkan memanfaatkan 180 pelajar.

Katanya, inisiatif tersebut amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menoktahkan isu kemiskinan tegar dengan menambah baik tahap sara diri masyarakat, di samping meningkatkan keterjaminan makanan golongan B40 di sekolah berkenaan.

#PerakKini #BankRakyat #mesinATM #KebunNuriNutrisi #BHPAirKuning #SMKAirKuning

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *