Bazar Deepavali di Little India diteruskan

Oleh Rosdalilah ZahariĀ 

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat keputusan akan meneruskan bazar sempena sambutan perayaan Deepavali di kawasan lapang sekitar pentas sedia ada di Little India tanpa mengganggu premis perniagaan di sekitarnya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, MBI akan menyediakan kira-kira 11 khemah di tempat khas di hadapan pentas berkenaan dan bukan di hadapan kedai di sepanjang jalan Little India.

”Mesyuarat MBI sudah membuat keputusan memang akan buat bazar sambutan Deepavali di Little India, namun ia dibuat di kawasan lapang di sekitar pentas sedia ada.
”Dia macam berkonsep bazar juga tetapi berskala kecil dan kita akan memastikan pelaksanaannya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pada masa sama, kita akan pastikan khemah yang dipasang tidak mengganggu aliran trafik sehingga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBI dan Econsave Cash and Carry Sdn Bhd di Dewan Azlan Shah MBI di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Perak Kini melaporkan Persatuan Peniaga-Peniaga Little India Ipoh, Perak (ILIT) membantah perancangan penganjuran Karnival Deepavali pada tahun ini kerana dibimbangi risiko penularan Covid-19 akan berlaku dan akan mewujudkan kluster baharu di kawasan berkenaan.

Memetik laporan itu, Wakil persatuan berkenaan, S Sandhya Sharma berkata, surat permohonan pembatalan program karnival Deepavali 2021 yang bertarikh 4 Oktober lalu telah dihantar dan diterima Pejabat Datuk Bandar Ipoh serta Pejabat Setiausaha Politik Menteri Besar Perak pada 5 Oktober.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *