PRU15: Anwar umum bertanding Parlimen Tambun

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) mengumumkan bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Konvensyen Harapan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) malam tadi.

Pengumuman berkenaan secara tidak langsung menghentikan teka teki di mana Presiden PKR itu akan bertanding pada PRU15 yang bakal berlangsung pada 19 November depan.

Anwar dalam ucapannya berkata kawasan yang dipilihnya untuk bertanding pada PRU kali ini bukan mudah untuk mendapat majoriti yang besar.

“Saya tidak memilih kawasan yang mudah dapat majoriti besar tetapi saya berani rempuh dan tawan Tambun pada PRU ini

“Saya yakin untuk menang dan merampas Tambun dan Perak. Ini kesediaan saya,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media ringkas yang diadakan sejurus selepas ucapan beliau berakhir, Anwar menyatakan rasa tanggungjawab untuk melonjakkan gerakan PH di Utara termasuk di Perak dan Selatan Kedah.

“Gerakan ini bagi meneruskan pencapaian PH di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor,” jelas bekas Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Kerusi Parlimen Tambun kini disandang oleh Timbalan Presiden Bersatu yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

#PerakKini #PakatanHarapan #PH #tanding #ParlimenTambun #PRU15

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *