Kedai Emas Rozita kongsi rezeki Ramadan, edar beras, ikan percuma

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Sempena bulan Ramadan yang mulia ini Kedai Emas Rozita berbesar hati berkongsi rezeki dengan memberikan ikan serta beras secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan tanpa mengira agama dan kaum.

 

Program ini turut mendapat kerjasama Team Kongsi Kongsi Rezeki The Bojen Car Wash and Spa dan Azno Catering Sdn Bhd.

 

Sebanyak 1,000 kampit beras (lima kilogram setiap satu) dan satu tan ikan kembung diagihkan kepada orang ramai pada program yang diadakan pada kali kedua ini.

 

Orang ramai dilihat mula beratur di sepanjang kedai berkenaan seawal jam 7.30 pagi bagi tidak melepaskan peluang mendapatkan beras dan ikan kembung secara percuma.

 

Pengurus The Bojen Car Wash and Spa, Mohd Salorwadi Mohd Nor yang mewakili Team Kongsi Rezeki mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kedai Emas Rozita kerana memberi peluang untuk beliau bersama-sama menjayakan program berkenaan.

 

“Terima kasih, Alhamdulillah, Kedai Emas Rozita berkongsi rezeki dengan penduduk Perak amnya terutamanya bagi membantu orang kurang upaya (OKU) dan golongan B40.

 

“Hari ini kita agihkan 1,000 kampit beras dan satu tan ikan. InsyaALLAH kita akan adakan acara ini sebagai acara tahunan.

 

“Tadi saya lihat seorang makcik datang berkerusi roda mengambil beras, walaupun tak sebanyak mana dia menitiskan air mata. Jadi, tak semestinya duduk di bandar raya semua orang senang, masih ada yang memerlukan bantuan seperti ini.

 

“Justeru, saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar sana dapat menggembleng tenaga melaksanakan program seperti ini bagi mengurangkan beban mereka yang memerlukan,” katanya.

Pengurus The Bojen Car Wash and Spa, Mohd Salorwadi Mohd Nor
Muhammad Helmie Fherdhaus Busah bersamanya ibunya, Zalmiah Hashim
P Karnaki
Orang ramai berbaris seawal jam 7.30 pagi untuk mendapat ikan dan beras sempena Program Kongsi Rezeki Kedai Emas Rozita.
Kakitangan Kedai Emas Rozita bersama Team Kongsi Rezeki berganding bahu mengedarkan ikan dan beras percuma kepada orang ramai.
Kakitangan Kedai Emas Rozita menunjukkan ikan kembung yang akan diedarkan kepada orang ramai.
Anak-Anak kecil juga tidak ketinggalan membantu ibu bapa mereka untuk mendapatkan ikan dan beras percuma yang diedarkan Kedai Emas Rozita pada hari ini.
Jurujual Kedai Emas Rozita, Muhammad Amir Zakuan Ahmad Zawawi

 

Beliau ditemui pada Program Kongsi Rezeki Kedai Emas Rozita yang diadakan di Medan Gopeng, di sini, pada Sabtu.

 

Hadir sama, Pemilik Kedai Emas Rozita, Mohd Zanizan Shahrir.

 

Dalam perkembangan sama, Jurujual Kedai Emas Rozita, Muhammad Amir Zakuan Ahmad Zawawi, 28, berkata program tersebut diadakan bagi berkongsi rezeki hasil keuntungan kedai berkenaan dengan penduduk di negeri ini.

 

“Setiap keuntungan yang bos dapat kami berkongsi dengan warga Perak. Selain ikan dan beras kami juga turut memberikan bihun serta mengedarkan bubur lambuk.

 

“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki dengan rakyat yang memerlukan terutamanya di musim pandemik ini,” ujarnya.

 

Sementara itu, rata-rata orang ramai yang ditemui pada pagi ini mengucapkan terima kasih di atas inisiatif yang dilaksanakan kedai berkenaan.

 

Muhammad Helmie Fherdhaus Busah, 32, dari Taman Temara, Station 18 berkata dia bersama ibunya yang berkerusi roda, Zalmiah Hashim, 64, berbaris seawal 9.15 pagi bagi mendapatkan beras dan ikan percuma itu.

 

Katanya, dia dimaklumkan isterinya berhubung program tersebut dan membuat keputusan untuk singgah bersama ibunya.

 

“Pemberian ini sangat membantu dalam meringankan keluarga yang memerlukan terutamanya ketika pandemik Covid-19,” ujarnya.

 

Peniaga sayur OKU, P Karnaki, 63, dari Taman Hillview tidak melepaskan peluang untuk mengambil sumbangan beras dan ikan percuma untuk dinikmati bersama rakan-rakan di rumah.

 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan sumbangan. Walau apa yang terjadi, hidup perlu diteruskan. Kami boleh masak makanan enak melalui pemberian ikan dan beras ini,” jelasnya.

 

#PerakKini #sumbangan #Ramadan #ikan #beras #percuma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *