CILI BARA BERI PENDAPATAN LUMAYAN

Oeh Intan Efazila Md Yusop

MUALLIM: Seorang pemuda tidak menyangka, pokok cili bara yang ditanam untuk kegunaan sendiri kini mampu memberi sumber pendapatan untuk menyara kehidupan sekeluarga, dekat sini.

Muhammad Izwan Ismail,34, berkata peringkat awal beliau hanya menanam kira-kira lima pokok sahaja untuk kegunaan dapur rumah.

Katanya, apabila jiran ternampak pokok cili bara itu, walaupun bersaiz agak kecil dan rendah tetapi mampu mengeluarkan hasil yang banyak menyebabkan mereka tertarik untuk membeli pokok terbabit.

“Bermula saat itu, semakin hari permintaan dalam kalangan orang kampung dan jiran bertambah menyebabkan beliau menyemai lebih banyak benih pokok cili terbabit.

” Benih pokok cili ini disemai dalam bekas khas dan diubah ke dalam bag plastik apabila daun anak pokok cili itu mula bercambah bagi menjamin tumbesaran pokok itu tidak terbantut,” katanya ketika ditemui sedang menjual pokok cili bara di pekan Slim River, dekat sini.

Pokok cili bara disemai di hadapan rumah sebelum dijual kepada pelanggan
Muhammad Izwan Ismail ( tengah) sedang menjual pokok cili bara dengan menggunakan kereta Perodua Viva di kawasan parkir dekat pekan Slim River

 

Beliau hanya menggunakan sebuah kereta Perodua Viva yang dilaraskan tempat duduk belakang bagi memudahkan beliau menjual pokok cili bara di kawasan parkir pada waktu pagi.

Muhammad Izwan berkata pokok cili bara yang ditanam dan dibaja serta disiram secara berkala mampu mengeluarkan cili hanya tiga bulan sahaja.

Katanya, pokok cili bara yang dijual itu perlu diubah ke dalam pasu atau bekas yang lebih besar supaya pokok itu mampu membesar dengan baik dan mengeluarkan hasil cili yang lebih banyak.

” Bagi orang ramai yang suka makanan pedas, boleh menanam pokok cili ini di rumah sebagai pokok hiasan di samping dapat mengurangkan belanja dapur.

” Rasa cili ini seperti cili kampung atau burung yang biasanya hidup di kawasan hutan atau belukar yang disebarkan oleh burung atau haiwan kecil menyebabkan harganya tinggi di pasar,” katanya.

Beliau berkata kecenderungan hobi golongan isi rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lalu , menjadikan aktiviti menanam pokok hiasan atau sayuran menjadi salah satu faktor pokok cili bara mendapat perhatian.

Bapa kepada dua anak ini berkata, kini beliau menyemai kira-kira 500 anak pokok cili di sekitar rumahnya dan menjadikan tanaman ini sebagai sumber mata pencarian bagi kelangsungan hidup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *