Covid-19: Mutasi Omicron XE masih belum dikesan di Malaysia

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum mengesan kemasukan mutasi baharu varian Omicron dinamakan XE ke negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata KKM sentiasa mengikuti perkembangan mengenai varian baharu itu dari semasa ke semasa terutamanya dari segi
kebolehjangkitan dan keseriusan.
Menurutnya, setakat ini varian itu belum dikesan di Malaysia tetapi sudah ada di Thailand.
“Kita sedang mengikuti perkembangan tersebut dan kita pun tidak tahu sama ada apakah ciri-ciri varian itu.
“Ada dua benda yang kita tengok dalam varian baharu ini iaitu kebolehjangkitan dan keseriusan. Kebolehjangkitan Omicron lagi tinggi daripada Delta sebab itu kes melambung naik tapi keseriusannya lebih sederhana daripada Delta.
“Sebab itu, kita punya Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak penuh seperti dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Khairy memaklumkan bahawa KKM akan melihat negara lain sama ada varian itu mempunyai kebolehjangkitan ataupun keseriusan tinggi, sebelum mengambil langkah-langkah sepatutnya.
“Kalau keseriusannya tinggi dan tiba-tiba orang dijangkiti, betul-betul sakit kena masuk hospital, jadi kita punya strategi kena tukar. Tapi buat masa ini strategi kita tepat,” ujarnya.
Sebelum ini, Agensi melaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai satu mutasi baharu varian Omicron dinamakan XE, yang lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian COVID-19.
Menurut laporan Times of India, WHO menerusi laporan terbarunya berkata varian berkenaan adalah gabungan mutasi hibrid dua versi terdahulu bagi Omicron iaitu BA.1 dan BA.2.
“Varian XE (gabungan BA.2 dan BA.2) ini mula dikesan di Britain pada 19 Januari lalu dan sejak itu, kurang 600 kes susulan dilaporkan,” kata WHO dalam laporan yang diterbitkan awal minggu ini.
Terdahulu, Khairy mengadakan lawatan kerja di Hospital Batu Gajah (HBG), Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada Selasa.
#PerakKini #Covid19 #Omicron #XE
