MPM PERKENAL BAYAR CUKAI SECARA ONLINE

Oleh: Norsharuddin Sapian

SERI MANJUNG: Pemilik harta di kawasan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) diminta melakukan semakan bil cukai taksiran masing-masing secara atas talian mulai Penggal Kedua Tahun 2020 berikutan langkah MPM yang tidak lagi mencetak dan menghantar melalui pos mereka seperti biasa.

Jurucakap Unit Korporat Dan Perhubungan Awam MPM berkata, semua pemilik harta di daerah ini boleh melakukan semakan bil cukai taksiran menerusi Sistem E-Bayaran di portal rasmi Majlis Perbandaran Manjung di www.mpm.gov.my dan Portal E-PBT online di https://pbtpay.kpkt.gov.my dan seterusnya membuat pembayaran.

“Selain daripada itu, mereka juga boleh memohon bil cukai taksiran menerusi Pihak MPM juga melalui e-mel penilaian@mpm.gov.my dengan menyatakan nombor akaun cukai taksiran dan alamat harta.

“Mereka juga boleh datang membuat semakan di Kaunter Perkhidmatan Pelanggan, Aras Bawah, Majlis Perbandaran Manjung di Seri Manjung,” katanya.

Menurutnya, selaras dengan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Kerajaan Negeri Perak, tempoh pembayaran cukai taksiran juga dilanjutkan dari 31 Ogos kepada 31 Oktober 2020.

Sehubungan itu, katanya, pemilik harta dinasihatkan supaya mematuhi tempoh pembayaran tersebut bagi mengelakkan dikenakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan Seksyen 147 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171 ).

“Bagi pemilik harta yang telah menjelaskan bayaran cukai taksiran mereka, pihak MPM merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas komitmen yang diberi itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *