Dua lelaki, satu wanita ditahan ‘kantoi’ edar dadah di Taiping

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Tiga individu termasuk seorang wanita yang giat aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja sejak Jun tahun lalu akhirnya tumpas dalam serbuan di Kampung Paya, Kamunting, Taiping pada Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata beberapa ketulan mampat dipercayai ganja seberat 48.446 kilogram (kg) bernilai RM153,260 dirampas dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu.
Menurutnya, selain penahanan ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 39 tahun itu, tiga buah kenderaan dan seutas rantai leher turut disita.
“Anggaran nilai keseluruhan harta yang disita berjumlah RM67,670 dan tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1998,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata menerusi soal siasat yang dijalankan ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan aktiviti pengedaran ganja sejak Jun 2022.
“Dadah yang dirampas, disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak dan dadah yang dirampas boleh digunakan kira-kira 15,700 orang penagih dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ketiga-tiga suspek direman selama enam hari mulai 18 hingga 23 Mei depan bagi membantu siasatan,” katanya.
#PerakKini #PDRM #rampas #dadah #ganja #Taiping #RBZ
