Exco Perak nafi kurang prihatin terhadap pemain industri pelancongan, sentiasa terbuka untuk bersemuka

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan Negeri Perak menafikan pihaknya kurang prihatin terhadap pemain industri pelancongan di negeri ini seperti mana yang didakwa dalam sebuah portal berita tempatan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, dakwaan itu dianggap tidak berasas memandangkan pihaknya sentiasa terbuka untuk bertemu mana-mana penggiat industri pelancongan.
Menurutnya, segala masalah boleh diselesaikan dengan bertemu secara bersemuka bukan mengeluarkan kenyataan melalui media.
“Jadi saya rasa bagi mereka yang berjumpa dengan saya, tak ada masalah. Jangan kita buat statement just over the air, just statement open to the media kerana saya rasa itu tidak akan menyelesaikan masalah.
“Sekiranya pemain industri betul-betul mempunyai masalah, biarlah kita berjumpa secara bersemuka,” katanya kepada media ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Sze Yee membuat kenyataan tersebut bagiĀ sebagai mengulas dakwaan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak, Zamari Muhyi menerusi laporan sebuah portal berita tempatan yang mendakwa pemain industri pelancongan Perak berasa terabai dengan sikap kurang prihatin Exco terbabit.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat ini tiada pihak yang tampil untuk berjumpa dengannya bagi memohon sebarang dana seperti yang didakwa.
Katanya, setiap permohonan dana perlu mengemukakan kertas kerja untuk dipertimbangkan sebelum dana disalurkan.
Tambahnya, tiada peruntukan akan diberikan secara automatik kepada mana-mana persatuan tanpa permohonan dan cara yang betul.
#PerakKini #ExcoPelancongan #Perak #RBZ
