Finas, Promasta anjur kursus lagak aksi pertama di Malaysia

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Persatuan Profesional Lagak Aksi Malaysia (Promasta) buat julung kali menganjurkan kursus tersebut membabitkan 25 peserta dari seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah Latihan Industri Finas Radzuan Asan@Hassan berkata program itu adalah pendekatan Finas bagi memacu perkembangan industri kandungan kreatif negara menerusi Program Geran Pembangunan Modal Insan Kandungan Kreatif Finas.

Katanya, Kursus Motivasi dan Asas Lagak Aksi Siri 1 melibatkan pembabitan peserta daripada pelbagai latar belakang serta peringkat umur.

“Finas akan memberi peruntukan kepada persatuan yang berhasrat untuk mengendalikan program meningkatkan tahap profesionalisme dan modal insan ahli yang mengikuti kursus peningkatan modal insan yang dirancang,” katanya pada sidang media malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan Penasihat Eksekutif dan juga Pengasas Promasta, Yank @ Yusof Mohamed Kassim atau lebih dikenali sebagai Yank Kassim berkata pihaknya menerima lebih 85 permohonan untuk menyertai kursus itu namun 25 peserta telah disenarai pendek.

Menurutnya, permohonan yang diterima akan ditapis terlebih dahulu sebelum peserta layak untuk mengikuti kursus itu.

Katanya, melalui kursus ini diharap bakat baharu dapat dicungkil menerusi bidang lagak aksi serta memberi peluang kepada mereka untuk menempa nama sama ada di dalam atau luar negara.

Terdahulu, Ketua Whip Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Mazlan Abd Rahman merasmikan upacara penutup dan penyampaian sijil di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini.

#PerakKini #Finas #Promasta #lagakaksi #stuntman #stuntwoman #Ipoh #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *