Galeri Rumah Lat kini dibuka kepada orang ramai

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis perasmian Galeri Rumah Lat di Batu Gajah pada Sabtu.

Oleh Rosdalilah Zahari

BATU GAJAH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Galeri Rumah Lat yang terletak di Jalan Bemban, di sini pada Sabtu.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah, Lembaga Muzium Negeri Perak; Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain serta Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali Datuk Lat.

Terdahulu, dalam Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, dalam sembah ucapan berkata, kos pembangunan Galeri Rumah Lat yang dibina di atas tanah seluas 0.0412 hektar itu dibiayai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berjumlah RM3.81 juta dan siap sepenuhnya pada Januari 2022. Menurutnya, kerja-kerja pengisian pameran pula disiapkan pada 30 Jun tahun ini dengan kos bernilai RM700,000, dengan pembiayaan menggunakan Wang Sumbangan MOTAC.

“Kerajaan negeri pula bertindak menampung seluruh kos operasi galeri dari segi fizikal, selenggara dan perjawatan,” katanya.

Beliau berkata semua lapisan masyarakat harus mendukung pelan Perak Sejahtera 2030 agar kesejahteraan dapat dikecap bersama.

“Kemajuan yang sempurna tidak hanya diukur daripada segi pencapaian ekonomi semata-mata, malah lebih daripada itu kemajuan boleh diukur dengan kesejahteraan insan dan alam sejagat.

Bagi merealisasikan hasrat ini, perancangan yang teliti merupakan sesuatu yang sangat penting bagi memandu semua pihak yang terlibat secara holistik,” ujarnya.

Saarani berkata pembinaan galeri tersebut sejajar dengan Sasaran Agenda Perak Sejahtera 2030 yang antara lainnya menekankan Sejahtera Sosial bagi memupuk dan mengekalkan Seni Budaya dan Warisan.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri, untuk menjayakan sasaran ini melalui pelancaran sebuah galeri yang diberi nama Galeri Rumah Lat di Batu Gajah, Perak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha kerajaan negeri mengangkat usaha-usaha kreatif anak-anak kelahiran Perak akan menghasilkan ramai lagi tokoh-tokoh dalam bidang berkaitan pada masa akan datang.

“Seterusnya Sasaran Agenda Perak Sejahtera 2030, melalui tujahan Sejahtera Sosial dalam memupuk dan mengekalkan seni budaya dan warisan dapat dijayakan, yang akhirnya kesejahteraan tersebut dinikmati oleh seluruh rakyat jelata,” katanya.

Beliau berharap semoga galeri tersebut menjadi salah satu daripada mercu tanda pelancongan yang mendapat sambutan hangat dan dikunjungi oleh para pelancong dari dalam dan luar negara.

Galeri Rumah Lat dibuka setiap Selasa hingga Ahad mulai jam 9 pagi hingga 4 petang dan ditutup setiap Isnin.

#PerakKini #SultanPerak #SenimanDiRaja #GalLat #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *