Golongan belia pastikan berita sahih, sebelum sebar di media sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Anak-anak muda dinasihatkan agar tidak menyebar atau berkongsi maklumat yang tidak sahih di media sosial.

Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata pada zaman teknologi yang serba canggih ini segala maklumat mampu diperolehi dengan pantas hanya di hujung jari.

Bagaimanapun, beliau menegaskan supaya golongan belia jangan terlalu teruja dalam menyebarkan maklumat di media sosial tanpa mengesahkan kesahihannya terlebih dahulu.

“Sekarang ini kita ada pelbagai aplikasi seperti TikTok, Instagram dan Facebook. Jadi, sebelum terima berita sahih, semak dahulu dan jangan sebar benda-benda yang boleh mendatangkan fitnah dan mempunyai unsur tidak baik sehingga boleh menjejaskan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sembang Santai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Belia  Zon Perpaduan, di Warung D’Unta, di Tambun, malam tadi.
Mazlan berkata, golongan belia adalah aset yang penting dalam menentukan masa depan dan hala tuju negara.

“Sesi sembang santai pada hari ini adalah salah satu cara untuk anak muda mendekatkan diri dengan komuniti setempat.

Sebahagian belia yang hadir pada Program Sembang Santai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Belia Zon Perpaduan, di Warung D’Unta, di Tambun.
Pengerusi Program Sembang Santai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Belia Zon Perpaduan, Nur Sheerlyza Nashrun.
Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman ketika mengadakan sesi dialog pada Program Sembang Santai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Belia Zon Perpaduan, di Warung D’Unta, di Tambun.
Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman ketika mengadakan sesi dialog pada Program Sembang Santai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Belia Zon Perpaduan, di Warung D’Unta, di Tambun.
Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman bersama anak-anak muda Zon Perpaduan bergambar kenangan selepas selesai Program Sembang Santai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Belia Zon Perpaduan, di Warung D’Unta, di Tambun.

“Kita juga menggalakkan anak-anak muda ini untuk menggunakan media sosial bagi mempromosikan tempat menarik di kawasan mereka.

“Contohnya, mereka (belia) boleh memperkenalkan Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) yang merupakan salah satu kawasan tarikan pelancong.

“Secara tidak langsung peniaga kecil yang berhampiran dan mereka yang menjalankan perniagaan homestay (inap desa) dapat menambahkan pendapatan apabila pelancong datang ke sini sekali gus membantu dalam memulihkan ekonomi setempat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, program seumpamanya akan diteruskan pada masa akan datang supaya golongan belia dapat bekerjasama dengan masyarakat setempat.

“Ini adalah program kedua yang kita adakan selepas Zon Tambun kira-kira empat bulan lalu. Selepas ini, kita akan adakan di Zon Tanjung Rambutan pula,” jelasnya yang turut memaklumkan program itu tidak berunsurkan politik.

Sementara itu, Pengerusi Program Nur Sheerlyza Nashrun, 21, berkata seramai 100 orang yang terdiri daripada golongan belia dan masyarakat setempat hadir pada program ini.
Beliau berharap, program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya anak-anak muda akan terus bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *