Ipoh bakal jadi ‘Bandar Raya Kopi’

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam perancangan untuk menjadikan Ipoh sebagai ‘Bandar Raya Kopi‘ menjelang pertengahan tahun hadapan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata minuman kopi khususnya Ipoh White Coffee adalah salah satu tarikan pelancong untuk ke bandar raya ini bagi merasai sendiri keenakan kopi yang cukup terkenal itu.

Menurutnya, setakat ini MBI sudah menyusun perancangan bagi merealisasikan perkara tersebut.

“Untuk menjadikan Ipoh bandar raya kopi, kita sedang mengumpul produk kopi daripada beberapa pengusaha termasuk syarikat pengeluar kopi terkenal iaitu Chang Jiang White Coffee.

“Kita juga bercadang untuk mewujudkan ‘coffee trail’ serta membangunkan tanaman kopi segar pelbagai jenis seperti Robusta dan Arabica untuk ditanam di bandar raya ini.

“Ipoh ada banyak kawasan yang sesuai untuk penanaman kopi antaranya di Gunung Lang dan Tasik Cermin. Kita tidak memerlukan kawasan yang luas, satu ekar pun sudah memadai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Restoran Chang Jiang White Coffee di People’s Park, di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud (tengah) memotong riben sebagai tanda simbolik perasmian Restoran Chang Jiang White Coffee, di People’s Park, di sini.
Antara tetamu yang hadir pada perasmian Restoran Chang Jiang White Coffee, di People’s Park, di sini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud menandatangani plak pada perasmian Restoran Chang Jiang White Coffee, di People’s Park, di sini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud (tiga kiri) membuka pintu restoran sebagai tanda simbolik perasmian Restoran Chang Jiang White Coffee, di People’s Park, di sini.

Hadir sama Pengarah Urusan Syarikat Chang Jiang White Coffee, Kong King Loong dan Pengarah Eksekutif Syarikat Chang Jiang White Coffee, Sam Foong.

Sementara itu, mengenai pembangunan di People’s Park Rumaizi berkata kawasan itu akan dijadikan pusat hentian setempat pelancong bagi mendapatkan produk-produk terkenal di negeri ini.

Katanya, People’s Park akan menyediakan gerai-gerai mini yang berkonsepkan ‘Small Village Town’ supaya pelancong dapat membeli kraftangan atau makanan.

“Sebagai contoh kita akan jual kopi, kacang putih dan kasut seperti terompah yang dibuat di kilang di Bukit Merah, Menglembu.

“Selain gerai menjual produk terkenal di negeri ini, kita juga akan membuka gerai makanan pelbagai kaum di sini.

“Setakat ini, sekurang-kurangnya tujuh gerai akan dibuka dan mungkin lebih berdasarkan permintaan. Secara tidak langsung, ini membuka peluang perniagaan kepada usahawan kecil di Ipoh,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata MBI juga sedang giat menyiapkan laluan penjalan kaki dari Kinta River Walk ke People’s Park bagi menghubungkan kedua-dua lokasi tarikan pelancong itu.

“Laluan pejalan kaki ini masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap tahun depan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *