GONDOLA31: SYURGA FESYEN DI IPOH

BERBEKALKAN pengalaman sebagai pegawai pemasaran pengiklanan di syarikat media utama tempatan sebelum ini telah menyuntik inspirasi kepada dua anak jati kelahiran Perak antaranya ialah Nizam Hj. Baharudin untuk membuka butik Gondola31.
Butik vendor terkemuka berpangkalan di Meru Raya Ipoh, Perak tersebut menawarkan kelengkapan fesyen dari hujung rambut hingga hujung kaki hanya di bawah satu bumbung.
Beroperasi di dalam premis setinggi dua tingkat butik Gondola31 bagaikan syurga beli-belah buat golongan wanita, lelaki, kanak-kanak dan seisi keluarga mendapatkan variasi busana, aksesori, sepatu dan produk kecantikan.
Apatah lagi, butik yang menerapkan konsep kayu palet atau pinewood di segenap ruang itu bukan sahaja menawarkan satu jenama, bahkan menempatkan lebih 70 jenama fesyen daripada vendor dan usahawan popular tempatan.
Antaranya ialah Darwish Rich Design, Wafa Closet, Haizi Creation, Jannah Noe, El Mayesya, Lonina2020, Nabilah Hills, Dleqa, Batik Dia dan Hers BintWahab
Ini termasuklah jenama, Redaudra, Aisyasyraf, Byraa Exclusive, Nazrai Pin, Kehati Creations, Cotton Methaphore, kasut Madre dan banyak lagi.
Menurut Nizam, pembukaan butik Gondola31 bermatlamatkan serampang dua mata.
“Objektif utama kami adalah untuk menyediakan platform terbaik kepada vendor dan usahawan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur khususnya melebarkan sayap jenama mereka di negeri Perak.
“Selain itu, dengan adanya butik Gondola31 para pelanggan berpeluang membeli-belah di sini tanpa perlu ke Kuala Lumpur atau Bangi, Selangor. Ini kerana seperti kita sedia maklum dua lokasi terbabit merupakan lubuk fesyen tempatan popular,” katanya mengenai Gondola31 yang buat pertama kalinya membuka pintu butik untuk orang ramai pada 8 November 2015.



Simbolik nama Gondola31
Bicara lanjut, mengenai pemilihan nama Gondola31, Nizam menyatakan nama tersebut diilhamkan daripada sebuah perahu kayu tradisional di Venice, Itali yang dikenali sebagai gondola.
Justeru, secara simboliknya Gondola berasaskan kayu itu walaupun didayung perlahan-lahan, ia tetap akan tiba di destinasi dituju.
“Situasi perahu gondola itu sama seperti ‘perjuangan’ kami di butik Gondola31 yang mana puncak kejayaan pasti dapat ditawan berbekal keyakinan tinggi meskipun ada pasang dan surutnya. Cepat atau lambat sukses tetap akan dikecapi.
“Sementelah itu, angka 31 pula merujuk pada lot premis bernombor 31 dan usia kami berdua ketika mengusahakan butik ini,” jelasnya lanjut yang mengusahakan butik bersama rakan, Norazura Md. Posdzi.



Beroperasi tempoh PKPB
Kesungguhan Nizam dan Norazura masing-masing berusia 36 tahun meletakkan Gondola31 sebagai butik vendor popular di Perak dalam tempoh lima tahun ternyata membuahkan hasil.
Buktinya, biarpun ditutup sementara ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac hingga 4 Mei lalu bagi memerangi penularan virus Covid-19, jualan Gondola31 secara atas talian masih mendapat sambutan.
Bahkan, sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kelonggaran membenarkan butik beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang ‘menyerbu’ ke butik vendor berkenaan.
“Walaupun butik beroperasi dalam keadaan pelaksanaan standard operasi prosedur (SOP) yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun ia bukan penghalang atau bebanan buat pelanggan.
“Malah, majoriti pelanggan memberi kerjasama terbaik seperti mematuhi penjarakan sosial di dalam dan luar butik, memakai topeng muka, menggunakan hand sanitizer dan menulis maklumat asas peribadi.
“Selain itu, bagi memastikan keselamatan bersama pihak pengurusan butik turut mengambil bacaan suhu dan membenarkan 10 pelanggan sahaja masuk ke dalam premis,” ulas beliau yang juga tidak membenarkan aktiviti mencuba pakaian dan penggunaan lif.
Sebelum menutup bicara, Nizam menyifatkan sektor ekonomi sama ada butik, restoran dan sebagainya dapat beroperasi dengan lancar dan selamat sekiranya semua pihak melunaskan tanggungjawab masing-masing.
Sikap sambil lewa atau memandang ringan pada SOP saranan KKM perlu dihapuskan kerana tindakan sedemikian menyukarkan usaha negara untuk memerangi wabak Covid-19.
Info
Butik Gondola31
31-G, Jalan Meru Bestari B9,
Bandar Meru Raya, Perak.
Masa Operasi : 11 pagi- 7 petang
FB : Gondola.31 Boutique
IG : gondola.31


