LELAKI 78 TAHUN KONGSI RESEPI NASI LEMAK POPULAR

Oleh Intan Efazila Md Yusop

SLIM RIVER: Ilmu yang berfaedah jika dikongsikan oleh orang akan menjadi lebih berkat menyebabkan seorang warga emas yang berpengalaman kira-kira 30 tahun berniaga nasi lemak tidak lokek berkongsi cara memasak nasi lemak dan sambal ayam dengan penduduk, dekat sini.

Mohd Lazim Sarat yang berumur 78 tahun belajar memasak nasi lemak dan sambal ayam daripada arwah isterinya, Saripah Ulung yang meninggal dunia ketika berusia 63 tahun akibat sakit tua.

Katanya, selepas arwah meninggal sejak 13 tahun yang lalu, namun beliau tetap meneruskan jualan nasi lemak dan sambal ayam resepi isterinya bagi mengubat rasa rindu kepada arwah.

” Ramai penduduk dari luar kawasan dan setempat terutama kaum Cina datang ke rumah untuk mempelajari cara memasak nasi lemak dan sambal ayam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac yang lalu.

” Bagi saya ini satu penghargaan daripada penduduk untuk kongsi resepi dan cara memasak nasi lemak serta sambal ayam itu supaya ada juga yang bakal mewarisi resepi itu terutama apabila saya tiada nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dekat gerai beroda berhampiran Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, dekat sini.

Setiap hari beliau hanya menanak beras hanya tiga kilogram (kg) sahaja bersama seekor ayam untuk dimasakkan sambal untuk dimakan bersama nasi lemak itu.

” Apa yang saya pelajari daripada arwah isteri, semuanya saya ajarkan kepada penduduk supaya mereka mampu masak dengan baik untuk hidangan keluarga nanti.

” Buat apa kita hendak kedekut ilmu kerana ilmu bermanafaat yang ada dalam diri kita , jika kita kongsikan dengan orang lain, kita juga akan mendapat ganjaran pahala selagi orang itu mengamalkan untuk kebaikan,” katanya.

Katanya, kenangan bersama arwah isteri menjual nasi lemak secara sepenuh masa setelah berhenti kerja di sebuah kilang dekat Petaling Jaya, Selangor untuk membesarkan tiga orang anak merupakan kenangan terindah dan masih tersemat di hati sanubarinya.

Beliau berkata dalam peringkat umur sebegini beliau bukan mahu mengejar wang ringgit tetapi bagi mengisi masa lapang serta membuatkan beliau tidak terasa perubahan masa berlalu dalam menjalani hari tuanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *