HAMPIR 500 PENDUDUK DESA LANG RAIKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI 2025
IPOH – Bulan Syawal bakal melabuhkan tirainya tetapi kemeriahan rumah terbuka tetap berlangsung dengan suasana penuh meriah walaupun sudah hampir dipenghujungnya.
Program Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Lang pada kali ini turut berkolaborasi bersama Surau Ar-Raudah.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Perpaduan Daerah Kinta (PPDK), Mohamed Zaizulman Zainal Abidin bertempat di Tingkat Bawah, Kuarters KTMB malam tadi.
Turut mengiringi beliau adalah Pengerusi KRT Desa Lang, Azman Arshad, Pengerusi Surau Ar- Raudah, Nik Mohd Asri Nik Ismail, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Clr Hamzah Hamdan serta para penduduk Desa Lang dan kawasan sekitarnya.
Azman Arshad berkata, sambutan luar biasa ini adalah hasil kerjasama erat semua ahli KRT Desa Lang yang telah diterjemahkan hasilnya pada malam ini.
” Selain mengeratkan silaturahim sesama penduduk, ini adalah suatu bentuk ikatan perpaduan dikalangan penduduk disini.
” Saya juga turut mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada PPDK dan Ahli Majlis kerana turut sama menjayakan program pada malam ini,” ujar beliau kepada Perak Kini.
Beliau turut menambah, kehadiran kaum Cina, India dan Melayu telah membuktikan ikatan perpaduan dapat disatukan dengan program sebegini.
Majlis turut diserikan dengan persembahan seni silat, pertandingan karaoke dan diakhiri dengan acara cabutan bertuah.