MENTERI KPKT RASMI MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS PARKIR & RUANG KOMERSIAL BAHARU DI JALAN PANGLIMA IPOH

IPOH – Bandaraya Ipoh terus melakar transformasi pesat apabila satu lagi projek berimpak tinggi dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menerusi Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kompleks Parkir & Ruang Komersial di Jalan Panglima, Ipoh.

 

Majlis penuh berprestij ini turut diserikan dengan kehadiran pimpinan utama termasuk Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Jenny Choy Tsi Jen, Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak; serta pegawai tinggi KPKT dan Majlis Bandaraya Ipoh.

 

Projek mega yang dibangunkan oleh Kumpulan GD Properties ini melibatkan pembinaan kompleks parkir lima (5) tingkat di atas tapak seluas hampir satu ekar.

 

Menariknya, kompleks ini bakal menempatkan 353 unit parkir, ruang komersial di aras bawah, serta sebuah pusat budaya kreatif dan medan selera di bahagian bumbung.

 

Menurut Nga, projek ini adalah simbol komitmen kerajaan dalam menambah baik infrastruktur bandar dan menyelesaikan masalah kekurangan parkir yang sering membelenggu kawasan Pekan Lama Ipoh, salah satu destinasi pelancongan utama negeri Perak.

 

“Pembinaan parkir bertingkat ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat,” ujar beliau penuh semangat.

 

Projek ini juga adalah inisiatif strategik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam memperkasakan kemudahan awam dan merancakkan pembangunan bandar yang mesra pengunjung dan pelancong.

 

Dengan jaringan infrastruktur yang mantap dan kedudukan lokasi yang strategik, Kompleks Parkir & Ruang Komersial Jalan Panglima dijangka menjadi nadi baharu kepada sektor pelancongan dan perniagaan di tengah-tengah Bandaraya Ipoh.

 

“Semoga projek ini memberi impak besar kepada warga tempatan serta para pelancong yang terus menjadikan Ipoh sebagai destinasi pilihan,” kata Nga mengakhiri ucapannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *