Hard Rock Cafe akan dibuka di Ipoh Disember ini

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Hard Rock International dijangka akan membuka Hard Rock Cafe (HRC) kelimanya di Ipoh pada Disember.

Francais terbaru ini terletak di Palo 101, di Jalan Sultan Iskandar dan untuk fasa pertama, The Rock Shop iaitu kedai menjual barangan jenama Hard Rock akan dibuka pada 16 Jun.

Naib Presiden Kawasan Asia Pasifik HRI, Malcolm Chao berkata sebelum ini terdapat empat HRC yang sudah beroperasi di Malaysia iaitu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Melaka, dan Johor Bahru.

Menurutnya, pembukaan kafe ini secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong antarabangsa untuk melawat ke bandar raya ini.

“Kita berharap pembukaan kafe ini dapat membantu kemasukan lebih ramai pelancong luar negara ke negeri Perak khususnya Ipoh,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Media dan ‘Soft Launch’ Hard Rock Cafe Ipoh, di Tasik Cermin di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata faktor HRI memilih Ipoh untuk membuka HRC kelimanya adalah berdasarkan faktor geografi Geografi serta lokasinya yang strategik kerana bandar raya ini terletak di tengah-tengah antara Utara dan Selatan seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Katanya, pihaknya merancang untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar pelancongan utama negara pada tahun 2025.

“Strategi kita adalah menarik jenama-jenama antarabangsa untuk beroperasi di negeri ini dan mengerakkan kawasan terlibat sebagai kawasan pelancongan berasaskan ekopelancongan dan seni,” ujarnya.

#PerakKini #HardRockCafe #MBI #Ipoh #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *