Harga belian padi RM1,300 boleh ‘bunuh’ pesawah

PARIT BUNTAR: Lebih 200 pesawah mengadakan demonstrasi aman di kawasan sawah di Tanjung Piandang petang tadi membantah penurunan harga belian padi yang diputuskan dalam mesyuarat Pengilang-Pengilang Beras, Isnin lalu.

 

Mewakili 8,920 pesawah di kawasan utara Perak, mereka mendakwa harga belian padi yang diturunkan kepada RM1,300 satu tan metrik berbanding harga semasa antara RM1,500 hingga RM1,800 sangat menjejaskan pendapatan.

 

Menurut Mohd Reduan Maharane, harga yang ditetapkan pengilang-pengilang beras itu sangat murah bukan sahaja menghimpit, malah langsung tidak memberi untung kepada mereka.

 

“Kami dah hilang semangat nak buat bendang, harga RM1,300 itu boleh bunuh dan pijak kami.

 

“Sekarang kos mengusahakan sawah padi untuk serelong sekitar RM1,400 dan kerajaan pula beli padi kami RM1,300 satu tan metrik sememangnya tidak cukup malah petani akan rugi berterusan menanggung kos-kos lain seperti sewa tanah, jentera dan lain-lain,” katanya.

 

Menurut seorang lagi pesawah, Abd Rahim Omar, harga belian RM1,300 itu juga ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan.

 

Tegasnya, penafian yang dibuat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) semalam berhubung arahan atau keputusan penurunan harga itu adalah tidak adil.

 

Menteri terlibat ujarnya perlu turun padang melihat sendiri nasib yang dialami pesawah.

 

“Kerajaan tolonglah bantu kami, kalau tak tolong siapa yang nak bantu?

 

“Saya bukan marah pada menteri (Datuk Seri Mohamad Sabu), tapi dia tidak boleh hanya dengar pegawai-pegawai dia bercakap dia kena turun sendiri tengok nasib pesawah,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Azhar Hashim mendakwa harga diputuskan dalam Mesyuarat Pengilang-Pengilang Beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) itu tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat.

 

Katanya, mesyuarat yang dibuat tanpa wakil pesawah itu jelas menafikan suara dan hak pesawah dalam menentukan nasib mereka sendiri.

 

Justeru katanya, pesawah menuntut agar kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum padi dan mengambil kira pelbagai faktor.

 

“Jika kerajaan nak kekalkan harga ini, boleh tapi dengan syarat kembalikan harga benih padi pada RM34 satu beg (20 kilogram), turunkan kembali harga minyak diesel yang menyebabkan kos kenaikan harga jentera.

 

“Kos benih kini cecah RM58 ke RM70 sekampit, manakala kos upah jentera naik dari RM100 serelong kepada RM160 dan kos jentuai pula naik dari RM100 ke RM170 bagi satu tan metrik,” katanya.

 

Tambah Azhar, dengan kos sewa tanah yang meningkat, kos racun melambung tinggi, serta peningkatan kos upah penyelenggaraan sawah seperti meracun, menabur, dan membaja, rintihan mereka itu perlu didengari.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *