HILANG PENDAPATAN, TAK MAMPU CARI REZEKI

Oleh :Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
BAGAN SERAI – Malang berganda. Sudahlah hilang punca pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini ketua keluarga pula terlantar akibat penyakit Lumbo-Sakral Spine atau tulang bernanah.
Demikian nasib Nadzeri Mohamed, 53, dari Taman Serai Jati, disini apabila bukan sahaja hilang punca pendapatan dan tidak boleh berniaga, malah tidak lagi mampu berdiri berikutan penyakit yang dialami.
Lebih menyedihkan, Nadzeri dan keluarga kini buntu mencari dana untuk melangsaikan baki hutang rawatan pembedahan tulang belakangnya berjumlah RM 9,710.26 dari sebuah hospital swasta di Perak.
Menurutnya dia dan keluarga kini tidak mampu membayarnya berikutan tiada lagi sumber pendapatan lain.
” Kami sekeluarga termasuk isteri dan seorang anak, hanya berniaga menjual tudung di pasar-pasar sekitar daerah Kerian.
” Namun semenjak PKP dilaksanakan, kami sekeluarga dah tak boleh meniaga dan tak ada sumber pendapatan lain.
” Ibarat jatuh ditimpa tangga apabila awal April lalu saya mula metdapat penyakit tulang bernanah dan selepas beberapa kali pembedahan dibuat, saya kini hanya mampu terlantar dan tidak mampu berdiri lama malaj terpaksa bergantung pada tongkat,” katanya ditemui media selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu hari ini.
Hadir sama Ketua Wanita Umno Bagan Serai, Zarina Abdol Majid.
Menurutnya lagi dia mula melakukan pembedahan itu pertengahan april lalu dan sehingga kini sudah kali kelima dia menjalani pembedahan dan rawatan .
Tambahnya kini dia amat berharap ada pihak yang tampil dan sudi membantu meringankankan beban yang ditanggungnya.
Dalam pada itu Sham menegaskan terdahulu pihaknya telah pun membantu keluarga ini dan akan turut membawa perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan pesakit ini mendapat bantuan wajar.
Tambahnya lagi pihaknya turut berharap orang ramai atau pihak tertentu yang sudi membantu keluarga ini.
Bagi yang ingin membantu pesakit ini, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun seperti yang tertera:
NAMA: Nadzri Bin Mohamed
BANK : Maybank
NO AKAUN BANK : 1583 0526 2140
TELEFON : 016-873 9798.


