HIKMAH DI SEBALIK PKP
Oleh Intan Efazila Md Yusop
MUALLIM: Pengalaman menyampaikan misi bantuan kepada golongan terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ke ceruk dan pendalaman kampung cukup bermakna buat mereka yang ditugaskan untuk menyampaikan bantuan terbabit.
Kadangkala, perjalanan bermula dengan kereta disusuli bermotosikal dan akhirnya terpaksa pula berjalan kaki, walaupun sungguh memenatkan tetapi demi tugas dan amanah serta rasa keperihatinan, mereka lalui dengan tabah.
Situasi ini dilalui oleh, seorang wanita kental, iaitu Pengerusi Pertubuhan Kemasyarakatan Pelbagai Kaum Perak (PKPKP), Shahaiza Md Khir, 50, bersama rombongannya dalam misi menyampaikan bantuan sampai kepada penduduk di tinggal di kampung dan pendalaman.
Shahaiza berkata memang penat tetapi ada hikmah tersembunyi di sebalik PKP di mana dapat menginsafi kita bahawa jika kita berasa susah tetapi rupa-rupanya di luar sana ada ramai lagi yang lebih susah daripada kita sejak PKP.
Katanya, ketika menyampaikan bantuan di kawasan kampung di pendalaman terutama perkampungan orang Asli beliau tersentuh melihat mereka yang terkesan dengan PKP.
Katanya, sepanjang perjalanan dan berjumpa dengan penduduk pelbagai ragam dan karenah dihadapi , namun beliau tidak menyalahkan mereka kerana apa yang berlaku adalah demi kelangsungan hidup.
” Walaupun penat kerana kadangkala terpaksa berjalan kaki meredah kawasan semak samun dam lorong penjalan kaki berbecak , namun semua itu dilalui dengan penuh kesabaran demi kebajikan penduduk.
” Orang yang melihat nampak mudah ketika kami yang menjalankan misi memberi bantuan, susah senang hanya kami yang menempuhi sahaja yang tahu kebenarannya,” katanya.
Sumbangan yang disampaikan itu berbentuk barangan keperluan asas harian, barangan elektrik dan barangan lain yang difikirkan untuk manafaat penduduk.
Shahaiza berkata ada juga penduduk yang mengambil langkah tinggal di pondok di kawasan kebun sebagai langkah mengelak jangkitan wabak Covid-19.
” Saya bersyukur semua barangan yang hendak disampaikan kepada penduduk walau berada di mana sekalipun sehingga ke hulu kampung dapat disampaikan dengan lancar.
” Sikap bertanggungjawab dan keperihatinan ketua-ketua kampung dengan penduduk sebenarnya banyak membantu pihak kami dalam memastikan bantuan itu sampai ke tangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata pengalaman semasa menjalankan tugas ketika PKP merupakan kenangan terindah dan bakal tersemat dalam memori kehidupan serta boleh dijadikan panduan sebagai pemimpin salah satu organisasi masyarakat di negeri ini.