Insiden Litar Dato’ Sagor: Balu mangsa terima FPM dari Perkeso

ALHAMDULILLAH Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak melalui Skuad Perkeso Prihatin (SPP) Taiping hari ini menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 kepada Noor Idayu Yunus balu kepada Allahyarham Muhammad Amir Mohd Yusoff.
Bayaran itu disampaikan Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) Mohd Nasrul Menhat bersama Pengarah Perkeso Perak, Zainal Ismail; Timbalan Pengarah Perkeso Perak, Roslan Pilus serta Pengurus Perkeso Taiping, Tunku Shahrain Tunku Salehan di rumah keluarga tersebut di Kamunting, Taiping.
Pada penyampaian bayaran itu, Zainal turut memaklumkan bahawa balu Allahyarham layak menerima pencen bulanan di bawah Faedah Pencen Penakat seumur hidup manakala anak-anaknya sehingga mencecah usia 21 tahun.
Dalam kejadian 31 Disember tahun lalu, Allahyarham Muhammad Amir yang juga mekanik sebuah bengkel dilanggar sebuah kereta lumba yang terbabas ketika Pertandingan “CCT Battle of Champion” di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah.
Susulan kejadian itu, Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan dan hasil bedah siasat mendapati beliau mengalami kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.
Allahyarham meninggalkan seorang balu yang hamil empat bulan serta tiga orang anak.
#PerakKini #Perkeso #Taiping
