Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor berdepan ancaman hakisan serius

Oleh Rosdalilah Zahari
PULAU PANGKOR – Usaha bagi menangani masalah hakisan pantai di Teluk Nipah di sini perlu diberi perhatian sewajarnya memandangkan ia didapati semakin serius sejak 2017.
Justeru, Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengambil inisiatif melaksanakan ‘Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai yang Lestari’ sejak 2019 bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah berkenaan.
Projek tanggungjawab sosial UTP yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) itu dilaksanakan bertujuan untuk menyelidik kesan hakisan pantai di kawasan terlibat serta memberi kesedaran kepada komuniti setempat mengenai isu terbabit.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Sivil dan Alam Sekitar UTP Dr Teh Hee Min berkata berdasarkan penyelidikan yang dijalankan di pantai tersebut pihaknya mendapati ombak kuat di kawasan itu mengakibatkan ia terhakis kira-kira tiga meter setiap tahun.

Menurutnya, jika perkara ini tidak dibendung segera keadaan tersebut boleh mengancam nyawa dan ekonomi peniaga yang mempunyai kedai di sepanjang pesisir pantai berkenaan.
“Pada tahun 2019, benteng batu sepanjang 50 meter telah dibina namun mengalami kerosakan memandangkan pukulan ombak di pantai itu terlalu kuat.
“Susulan ombak kuat itu, hakisan berlaku sehingga menyebabkan kerosakan pada struktur bangunan di pesisir pantai dapat dilihat dengan jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Pantai Teluk Nipah baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha MPM, Helmi Arifin; Jurutera Daerah JPS Manjung, Mohd Shamimi Mohd Tahir dan Pengarah Hello Pangkor, Tan Wee Hoe.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shamimi memaklumkan JPS sudah mensyaratkan rizab bagi pantai berpasir adalah 60 meter (m) sebarang pembinaan kekal dalam radius itu dilarang.
“Justeru, JPS sedang merancang bagi mengekalkan semula rizab 60 m di kawasan pantai berpasir supaya garis pantai yang sedia ada dapat dikekalkan,” jelasnya.
Sementara itu, petugas rekreasi pantai, Mohd Nor Azahari Ahmad Baddri, 40, yang sudah 13 tahun bekerja di Chiral Beach berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan isu hakisan pantai dengan segera demi keselamatan semua pihak.

#PerakKini #PantaiTelukNipah #PulauPangkor #ancaman #hakisan #UTP #MPM #JPS
