Isu kenaikan harga tiket feri Pangkor sudah dibawa ke MMK

Pulau Pangkor. - Foto: Media Sosial.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Isu berhubung kenaikan harga tiket feri Pulau Pangkor sudah dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk perbincangan lanjut.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kenaikan harga tiket itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengunjung yang ingin bercuti di pulau berkenaan.

Justeru, beliau berkata isu itu dibawa ke MMK di bawah portfolio Exco Datuk Mohd Zolkafly Harun supaya tindakan seterusnya dapat dilaksanakan.

“Justeru, kita akan kongsikan kemudian apa langkah dan tindakan seterusnya bagi mengatasi isu ini,” katanya.

Nolee Ashilin pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Aprisiasi Seni, Budaya dan Warisan Negeri Perak 2022 di Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Dalam perkembangan berkaitan Nolee Ashilin berkata Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab dalam memberi kebenaran kepada pengangkutan awam untuk kenaikan harga tiket.

“Kerajaan negeri tidak mengawal harga tiket sebaliknya itu adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan difahamkan beberapa siri perjumpaan telah diadakan sebelum mereka menaikkan harga tiket ini, ia diusulkan di peringkat daerah hingga Kementerian yang memberi kebenaran.

“Dalam pada itu, kenaikan harga tiket juga kerana caj bahan api meningkat, jadi ini adalah dia luar kawalan kita,” jelasnya.

Sebelum ini, tiket sehala bagi dewasa RM7 dan RM14 untuk pergi balik, manakala kanak-kanak RM2.50 sehala dan RM5 untuk pergi balik.

Bagaimanapun, tambang feri ke pulau bebas cukai itu naik RM10 bagi perjalanan sehala untuk dewasa atau RM20 bagi perjalanan pergi balik manakala tiket untuk kanak-kanak pula RM5.50 sehala dan RM11 pergi balik.

#PerakKini #feri #hargatiket #naik #PulauPangkor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *