Warga emas cacat penglihatan, tidur di kaki lima kedai dibantu

Heong yang tidur di kaki lima kedai di Bercham sejak 10 bulan lalu.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Nasib seorang warga emas cacat penglihatan yang tidur di kaki lima kedai di Bercham mendapat perhatian Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman.
Difahamkan, Heong Yoon Kong, 62, sudah lebih 10 bulan tinggal di kawasan berkenaan kerana tidak mempunyai penempatan.
Tinjauan Perak Kini mendapati warga emas itu tidur beralaskan tilam dan diberikan makanan serta minuman oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.
Mazlan ketika ditemui Perak Kini berkata beliau menerima maklumat daripada Pengerusi Peniaga Tanjung Rambutan, Alan Kok Mun Choong berhubung perkara itu dan turun padang ke lokasi untuk melihat sendiri keadaan warga emas tersebut.
“Uncle Heong bukan sahaja mempunyai masalah penglihatan malah menghadapi beberapa masalah kesihatan lain seperti sakit kepala dan hidung.
“Saya dimaklumkan setakat ini Uncle Heong sudah mengisi borang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan.
“Bagaimanapun saya akan berusaha untuk memanjangkan perkara ini kepada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Noorashikin Wan Noordin untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau juga akan cuba berhubung dengan Pusat Pemulihan Orang Cacat (PPOC) Perak jika mereka boleh membantu dalam memberikan penempatan kepada warga emas terbabit.
“Semoga segala urusan untuk mendapatkan tempat tinggal selesa dan selamat untuk Uncle Heong selesai dengan segera,” ujarnya.
#PerakKini #MBI #wargaemas #bantu #Bercham #Ipoh
