Isu Stesen Keretapi Ipoh lokasi tarikan pelancong kotor: MBI minta RAC ambil tindakan segera

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meminta Perbadanan Aset Keretapi (RAC) supaya mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu najis burung dan sampah sarap di perkarangan Stesen Keretapi Ipoh yang dilihat mencalarkan imej lokasi tarikan pelancong itu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan RAC dan menggesa mereka supaya menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan itu termasuk tandas dan bangunan Majestic.

“Kita tidak mahu saman RAC sebab mereka ini badan berkanun kerajaan Persekutuan, di bawah Kementerian Pengangkutan, tetapi kita sudah panggil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas diminta untuk mengulas mengenai isu tersebut yang menjadi ‘buah mulut’ pelancong dalam dan luar negara mengenai tahap kebersihan di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh yang kurang diberi perhatian oleh pihak berwajib.

Dalam pada itu, Rumaizi menegaskan jika RAC masih berdegil MBI tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Tetapi memandangkan mereka adalag agensi kerajaan Persekutuan, kita harap supaya mereka faham.

“Kalau ikut kepada perbincangan dengan mereka pada Isnin lalu, mereka kata akan ambil tindakan segera untuk pastikan kebersihan terjaga,” jelasnya.

Pernah mendapat jolokan ‘Taj Mahal’ kerana seni binanya yang seakan-akan bangunan asal di India, Stesen Keretapi Ipoh ini menjadi salah satu lokasi wajib singgah dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara.

#PerakKini #MBI #RAC #StesenKeretapiIpoh kotor #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *